Skip to main content

Cukuplah..hanya DIA yang Tahu ^_^


Pada suatu petang yang tenang..
"Dik..kenapa menangis sampai seteruk ini? Sudahlah..lap air matamu. Ini, makcik ada tisu, ambillah", kata Makcik Robihah sambil menghampiri Mimi.

Matanya yang sudah bengkak masih mengalirkan butir-butir jernihnya. Dengan suara tersekat-sekat, dia berkata perlahan, "Mak..cik..saya selalu teringat masa lalu saya yang teruk. Saya ni banyak dosa makcik.. Walaupun saya dah bertaubat.., tapi saya tak tahu adakah Allah mengampuni dosa-dosa saya..", kata-katanya terputus dan menyambung esakannya yang entah akan berhenti bila.

Makcik Robihah memeluk Mimi lebih erat, sambil mengusap belakang anak remaja yang dikenalinya sejak dahulu. Dia memahami masa lalu anak itu yang menjadi faktor remuk jiwanya saat ini. Dia cuba mendamaikan hati anak itu agar kesedihannya tidak bertukar menjadi putus asa yang berpanjangan.

"Dik..semua orang pernah buat dosa. Tapi yakinlah, Allah Maha Pengampun, nak. Takpe, bertaubatlah. Allah pasti terima. Makcik pernah jumpa orang yang jauh lebih dahsyat dari kamu", kata-kata Makcik Robihah membuatkan Mimi berhenti seketika dari tangisannya. Dia lantas mengangkat muka dari tekupan tangannya.

'Yeke?', monolog hatinya separuh tak percaya. Bagi Mimi, dialah yang paling teruk, dialah yang paling hina dan kotor.

"Dulu, ada sorang perempuan ni, datang jumpa makcik, nangis-nangis. Sungguh-sungguh dia nangis minta makcik doakan dia dapat pergi umrah. Bila makcik tanya dan korek apa peristiwa yang sebenarnya berlaku sampai dia naaak sangat pegi umrah, barulah makcik faham.", Mimi mengangguk-angguk sambil menunggu cerita seterusnya.

"Perempuan tu dah berzina selama 7 tahun. Bermacam-macam lelaki dia dah tidur. Tapi bila suatu hari Allah izin dia bertaubat, dia berhenti dari semua maksiat tu dan tekad untuk pilih cara hidup yang halal. Gaya hidup dia banyak berubah dan akhirnya dia berkahwin. Ketika dia mengandung anak kedua, dia 'ter'cerita masa lalu dia dengan suaminya. Suami dia terus naik angin dan rasa tak percaya anak yang dikandung itu anaknya. Perutnya hampir-hampir ditendang oleh suami. Suami dia kata :'Ini bukan anak aku. Ini anak dari kangkang kaki orang lain!'. Dia terpaksa terima semua kata-kata suami dia. Pendek cerita, akhirnya dia bercerai. Sedih yang teramat, tapi itulah ujian Allah buatnya. Bila dia dah lahirkan anak  yang sudah ketiadaan bapa, dia bawa anak dia kat makcik dan minta makcik bimbing dan jaga anak dia sekali.."
__
"Allah..kesiannya perempuan tu..", tangisan Mimi mula reda.

Lantas dia menyambung sambil mengusap-ngusap air mata di pipinya, "Alhamdulillah dia jumpa makcik yang boleh bimbing dia. Cuma..Allah nak izin dia tercerita kisah silam dia dengan suami. Patutnya, dia tak perlu cerita..", kata Mimi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Secara tidak langsung, kisah itu memberi harapan kepadanya yang masih belum berkahwin. Perjalanan hidupnya masih panjang dan liku-liku di depan juga masih belum diduga. Dia harus optimis dengan Tuhan apapun yang akan berlaku.

"Ye betul tu, Mimi...
Hari ini ramai orang buat maksiat, tetapi hari ini juga ramai orang ingin bertaubat."

"Cukuplah Mimi berusaha sehabis baik perbaiki diri, mohon ampun pada Allah sungguh-sungguh dari dosa-dosa serta usaha jauhkan diri dari perkara yang menjebakkan Mimi kepada perkara yang sama. Tidak perlu bercerita kepada orang dosa-dosa yang Mimi lakukan. Biarlah Allah yang Maha Mengetahui menjadi tempat Mimi mengadu dan bercerita berbanding manusia. Bukan tak boleh dik, tapi elakkan.. kerana padah yang perlu Mimi hadapi jauh lebih teruk daripada itu," air mata anak itu kembali bergenang menahan sebak.

"Dik..Islam sangat memelihara aib seseorang manusia. Syariat Islam tidak menetapkan untuk menampakkan kederhakaan. Ada hikmah tersembunyi dan sebab perlunya 'menyembunyikan dosa' dari pengetahuan orang ramai.

"Ini, makcik pernah terbaca tentang 'keperluan sembunyikan dosa' dari satu buku yang makcik beli di Indon dulu, maaflah kalau bahasa dia ke-indonan sangat..," makcik Robihah segera mengeluarkan buku itu dari beg tangannya dan menyelak muka surat yang berkaitan lalu menghulurkan buku itu kepada Mimi.

********************************
Mengapa mesti aku sembunyikan dosa? Apa sebabnya?

1. Jika kita diuji dengan kederhakaan kepada Allah, kita diperintahkan agar menutupi dengan tutupan Allah, tidak memburuk-burukkan diri sendiri. Dalam sebuah hadis disebutkan,
"Jauhilah perbuatan-perbuatan keji yang dilarang Allah ini. Barangsiapa mengerjakan sebahagian darinya, maka hendaklah dia menutupi dengan tutupan Allah"(Diriwayatkan Al-Hakim)

2. Untuk menjaga terbukanya tabir yang tertutup . Dikhuatiri pendosa akan terjerumus ke dalam kederhakaannya lagi, kerana jika pelbagai jenis dosa telah menumpuk di dalam diri, boleh jadi dosanya semakin bertambah setelah itu dan dia tidak berhajat untuk meninggalkannya.

Bimbang jika tabir yang tertutup akan terbuka di dunia, juga membawa kepada terbukanya tabir itu di akhirat. Keadaan ini jauh lebih parah dan lebih berat. Oleh itu, orang-orang soleh sering berdoa :
"Ya Allah, sebagaimana Engkau telah menutupi aib kami di dunia, maka tutupilah aib kami di akhirat, dan janganlah engkau hinakan kami di hadapan para saksi"

3. Agar orang lain tidak menirunya, sehingga dia (pendosa itu) menjadi sebab tersebarnya kederhakaan kepada Allah di dunia. Cukuplah dia sahaja yang melakukan kederhakaan itu, lalu bertaubat dan memohon ampun kepada Allah. Dia tidak perlu menampakkan kederhakaan sehingga kederhakaan itu tersebar ke mana-mana. Hal ini kerana, kederhakaan boleh menular seperti kuman yang menular, boleh mengganggu seperti peniup tungku besi yang mengganggu orang di sampingnya. Walaupun dia sudah tenggelam, dia seharusnya tidak suka orang lain ikut tenggelam bersamanya.

Oleh itu, orang yang melakukan kederhakaan harus menyembunyikan kederhakaannya, sekalipun di hadapan orang yang paling dekat dengannya, seperti isteri, suami, anak, pembantu dan kawan agar mereka tidak mengikutinya.

4. Agar dia (pendosa) sentiasa menyangka mendapat ampunan dan 'afiat dari Allah, tidak termasuk golongan orang yang bangga-bangga dengan kejahatannya, memperlihatkan dosa-dosanya serta mempamerkan kederhakaannya.

Dalam As-Shahihain dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud:
"Setiap umatku diampuni kecuali orang-orang yang menampakkan (kederhakaannya). Sungguh sesuatu yang lucu jika seorang melakukan suatu amal (kederhakaan) pada malam harinya, kemudian pada pagi harinya (dia mengungkapkannya), padahal Allah telah menutupi aibnya, seraya berkata : 'Hai Fulan, semalam aku berbuat begini dan begini'. Padahal malam harinya Rabbnya telah menutupi aibnya dan pagi harinya dia menyingkap apa yang ditutupi Allah. (Muttafaq Alaih)

5. Agar dia termasuk golongan orang yang mempunyai rasa malu, sehingga rasa malunya ini dapat menghalangi dirinya dari menampakkan kederhakaan. Dari Ash-Shahihain dari Ibnu Umar, Rasulullah saw melewati seseorang dari kalangan Anshor, yang sedang menasihati saudaranya tentang rasa malu. Lalu baginda bersabda kepadanya, "Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian dari iman" (Muttafaq 'Alaih)


********************************
"Jap makcik..panjangnya. Siapa yang tulis ni..?", tanya Mimi sambil membolak-balikkan buku itu. Dia cuba mencari sebab untuk dia bersungguh menghadamkan penulisan itu.

"Wuish! Dr Yusuf al-Qordhowiyy yang tulis?", wajah terkejutnya hanya dibalas oleh senyuman Makcik Robihah. Pembacaannya semakin khusyuk.
***********************************

6. Agar dia termasuk dalam golongan orang yang diberi kesaksian yang baik oleh umat, kerana manusia adalah saksi-saksi Allah di muka bumi. Bak kata pepatah, lidah manusia adalah pena kebenaran.

Nabi saw pernah bersabda kepada para sahabat tatkala ada jenazah yang lalu, lantas mereka memujinya, sabda Rasulullah saw, "wajib". Tatkala ada jenazah lain, dan mereka menyebutkan keburukannya, Rasulullah saw bersabda, "wajib". Lalu Umar b Al-Khattab bertanya, "Apanya yang wajib?". Baginda menjawab, "Jenazah ini kalian sebutkan kebaikannya, maka wajib baginya syurga, sedangkan satunya lagi kalian sebutkan keburukannya, maka wajib baginya neraka. Kalian adalah saksi-saksi Allah di bumi" (Muttafaq 'Alaih)

Rasulullah saw juga bersabda yang bermaksud:
"Tidaklah ada seorang muslim meninggal dunia, dipersaksikan para anggota empat keluarga dari tetangga-tetangganya yang terdekat, melainkan Allah berfirman : 'Aku telah menerima pengetahuan kalian tentang dirinya dan Aku mengampuni dosa-dosanya yang kalian tidak ketahui'" (Diriwayatkan Ahmad, Abu Ya'la, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

7. Agar tidak memancing celaan orang terhadap dirinya. Boleh jadi mereka pun terseret dalam kederhakaan kerana celaan itu atau mereka melakukan sesuatu yang di luar batasan, sehingga dia (pendosa itu) dicela dengan sesuatu yang sebenarnya tidak ada pada dirinya atau dia dicela lebih dari apa yang dilakukannya. Biasanya dalam keadaan seperti ini, dia tidak ingin Allah diderhakai kerana dirinya. Cukuplah dia sendiri yang diuji dengan suatu kederhakaan. Dia menjadi menderita jika orang lain juga mencela penderhaka selain dirinya, sebagaimana dia tidak terima jika dia dicela.

8. Agar dia tidak menderita mendengar celaan orang kerana kederhakaan yang dilakukannya. Hal ini kerana, apapun bentuk celaan pasti akan melukakan hati. Ini merupakan fitrah dan pembawaan manusia, sebagaimana pukulan yang sudah pastinya menyakitkan anggota tubuh. Boleh jadi sesuatu yang menyakitkan hati ini, lebih-lebih lagi bila dilakukan secara berterusan dan keras, boleh menghilangkan kekhusyukan beribadah, kerana adanya gangguan emosi dan kegundahan yang muncul kerana sesuatu yang dirasakannya.

Oleh itu, tidak ada salahnya seorang Muslim menjauhi apa pun yang menyakiti tubuh dan hatinya. Ini tidak haram.

Jika keadaan yang paling baik adalah menjaga diri agar orang lain tidak melihat kederhakaannya, maka antara orang yang mencela dan memuji dirinya menjadi seimbang. Hal ini kerana, dia menyedari bahawa semua urusan ada di tangan Allah, dan Dialah yang boleh memberi mudharat dan manfaat, sedangkan semua makhluk berada di dalam kekuasaanNya.

9. Dikhuatiri akan memancing kejahatan dan gangguan terhadap dirinya jika dia menampakkan kederhakaan. Ini merupakan akibat setelah adanya celaan terhadap dirinya. Celaan adalah sesuatu yang tidak disukai, kerana hati merasakan kekurangannya, sekalipun pada diri orang yang dijamin keselamatan dirinya dari gangguan. Namun, dalam keadaan seperti ini, tetap dikhuatiri akan menimbulkan gangguan terhadap dirinya kerana dosa yang dilakukannya. Jadi, ada baiknya jika seorang Muslim menghindarkan dirinya dari gangguan, dengan cara menghindari penyebab-penyebabnya."
*********************************

"Subhanallah..panjang tetapi bermakna buat Mimi.. Indahnya Islam, makcik, sehingga bab sharing dengan orang lain pun ada batasnya," wajah Mimi kembali bersinar.

"Hmm..Buku Niat dan Ikhlas oleh Dr Yusof Al-Qordhowiy. Menarik! Boleh ke makcik pinjamkan buku ni untuk Mimi? Bab-bab nak ikhlas nilah Mimi selalu fail..tak taulah makcik, kadang Allah baru uji sikit..tapi Mimi dah rasa macam ribut", akur Mimi akan kelemahan dirinya.

"Ohh maaflah, tak boleh pinjam... Makcik bagi hadiah untuk Mimi.. Ambillah"

"Allah..terima kasih banyak makcik. Mimi doakan makcik murah rezeki..," mereka saling berpelukan dan saling bersalaman. Saling menyerap aura kekuatan dan menyingkir aura kesedihan...


......
P/s: sebahagian besar cerita di atas adalah kisah benar dan sebahagian dialog telah diubahsuai oleh penulis. Artikel Menyembunyikan Dosa tersebut adalah ringkasan daripada artikel yang asal. Semoga sedikit perkongsian ini boleh menjadi pengajaran dan peringatan bersama untuk kita yang sering alpa.


N.H
5.00 petang
20 Oktober 2016

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Belajar di Darul Quran JAKIM (Bhg. 1)

Bismillah. Tujuan saya tulis ini adalah supaya bakal pelajar DQ atau sesiapa yang minat nak tahu, bagaimana keadaan belajar di DQ. *dulu saya yang stress sebelum nak masuk DQ, sebab tak jumpa catatan bekas pelajar DQ untuk rujukan. Saya merupakan  bekas pelajar Persijilan Tahfiz DQ-UIA 2014/15 dan kini menyambung pelajaran di UIA. Batch saya ialah batch ke-15 yang menyertai program ini. RINGKAS MENGENAI PROGRAM Program Persijilan Tahfiz DQ-UIA ini ialah program kolaborasi antara Darul Quran JAKIM dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Para pelajar akan memperuntukkan masa selama 18 bulan atau setahun setengah untuk menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran. Kemudian, pelajar tersebut boleh melanjutkan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejurus tamat pengajian di DQ. PERMOHONAN Untuk permohonan, pelajar perlu rujuk laman sesawang DQ untuk tahu mengenai syarat kelayakan, tarikh buka permohonan dan sebagainya. Secara umumnya, untuk program Persijilan, keputu...

Layakkah aku digelar HAFIZAH ALQURAN?

Orang kata : Indah khabar dari rupa.. Tapi Masjid ini, indah segala-galanya ..19 JANUARI 2015.. Suatu ketika dahulu, tarikh itu amat bersejarah buat diri ini. Alhamdulillah 'ala kulli haal. Pada tarikh itu... Aku berjaya tamat tasmik hafazan 30 Juzuk Al-Quran buat kali pertama. Walaupun dua kali tarikh target terlepas, rupa-rupanya Allah nak izinkan jatuh pada tarikh ini, tarikh yang sama dengan tarikh kelahiranku.. Beberapa bulan selepas itu (menghampiri setahun), Allah mengizinkan aku ingin singgah di masjid Darul Quran, kebetulan pula ada rehearsel majlis khatam Al-Quran untuk meraikan pelajar-pelajar yang berjaya habis tasmik hafazan 30 Juzuk Al-Quran. Suasana yang amat tenang dan syahdu. Satu persatu surah pendek dari Juz 30 diselesaikan bacaannya.. akhirnya menitis air mata jernih di pipiku.. Sebak, terharu, gembira dan syahdu, segalanya bersatu. Entah bagaimana lagi seharusnya aku bersyukur kepada Allah. Walaupun aku rasa terlalu mustahil buat diri ini mengkhatam...

Pengalaman Belajar di Darul Quran JAKIM (Bhg.2)

​   KEHIDUPAN BERPERSATUAN Pelajar Persijilan Tahfiz DQ-UIAM mempunyai persatuannya sendiri yang diberi nama Intellectual Quranic Generation Club (I.Q.R.a.C). Sebutannya bukan "Iqra'" tapi ai-qiu-rek. Haha k.  Ada pelbagai biro di bawah IQRaC seperti persatuan lain seperti; Biro Akademik, Tugas-Tugas Khas, Tarbiah & Kerohanian, Ekonomi, Perhubungan Luar, Penerbitan & Informasi dsb.  Boleh dikatakan sangat aktif dalam menganjurkan program-program untuk pembangunan diri ahlinya. Antaranya: - SYABAB- Orientasi untuk pelajar-pelajar baru. Lebih kepada cabaran untuk fizikal, mental dan rohani. - INTROFAZ- Pengenalan untuk pelajar baru kepada dunia huffaz (cara hafazan dsb). Lebih berbentuk akademik.  - OBIQ- Program pengenalan usrah dan macam ice-breaking untuk ahli-ahli usrah.  - INSIDE- Karnival mengenai multimedia dan dakwah.  - SUKRAC- Sukan untuk ahli IQRaC.  - NEWA- Program rekreasi (explorace dsb) untuk pemant...