“ Wahai anakku, carilah maut nescaya
dianugerahi hidup. Pemuda-pemuda itupun keluar menuju medan perang,berjuang
bermati-matian melawan musuh sehingga banyak musuh yang terbunuh di tangan
mereka. Akhirnya nyawa mereka sendirilah yang tercabut dari tubuh mereka.
Ketika Al Khansa’ mendengar kematian keempat-empat putranya,sedikit pun beliau
tidak merasa sedih bahkan beliau berkata ‘Alhamdulillah yang telah memuliakanku
dengan syahidnya putra-putraku. Semoga Allah segera memanggilku dan berkenan
mempertemukan aku dengan putraku dalam naungan Rahmat-Nya yang kukuh di
syurga-Nya yang luas.’
Maka, memandangkan halaqah kita meminjam
nama seorang tokoh yang sangat hebat, saya menyeru sahabat sekalian untuk
sama-sama kita bermujahadah, menjadi sekental Al Khansa’ dalam perjuangan kita
sepanjang di bumi ini. Semoga kita menjadi Al Khansa’ versi moden, yang
melahirkan pejuang sehebat pejuang medan Qadisiyah. Dan untuk melahirkan
pejuang yang hebat, kita sendiri perlu hebat berjuang menumpaskan musuh
terutamanya musuh diri kita sendiri iaitu nafsu. Jadi cukup sekadar itu. Kita
mulakan pembelajaran kita hari ini dengan bacaan doa.”
Dan bacaan doa dilantun, kelas tasmik pagi
berjalan seperti biasa.Begitulah rutin kami setiap pagi – sesi tazkirah ringkas
akan dijlankan selama lima minit, disusuli bacaan doa sebelum kelas pengajian
bermula. Kuliah Lima minit atau nama glamornya
KULLIMIN - bersama-sama mendidik diri menjadi pemberi bermula seawal pagi. Hari
ini tiba giliran aku sebagai pentazkirah. Sengaja aku pilih untuk berkongi
mengenai tokoh tersebut, dengan harapan semua ahli halaqah mendapat semangat
baru untuk menghafal memandangkan ramai yang sudah mula mengeluh sukar untuk
tasmik sekurang-kurangnya empat muka sehari.
Kelas tasmik bagi pelajar program
pensijilan berjalan mengikut kumpulan-kumpulan kecil yang dipanggil halaqah.
Kelas tasmik bagi Halaqah Al Khansa’ berjalan di masjid. Semua tekun mengaji dan menghafaz mengikut
cara masing-masing. Ada yang selesa dengan cara mengulang-ulang satu ayat, ada
yang merenung makna sesuatu ayat terlebih dahulu, ada juga yang membahagikan
satu muka surat Al Quran kepada beberapa bahagian dan tak kurang juga yang
menggunakan teknik menulis.
“Busyra! Jom balik.” Haziqah, teman
sehalaqah aku memanggilku.
Ahli halaqah yang lain juga sedang
bersiap-siap untuk pulang ke asrama, merehatkan diri di bilik masing-masing
setelah berhempas pulas menghantar modal selama tiga jam. ‘Hantar modal’
istilah biasa yang digunakan oleh pelajar Darul Quran yang mebawa maksud tasmik
muka surat baru, yang belum dihafal. Jika tasmik muka surat yang telah dihafal,
istilah ‘iadah’ digunakan.
“Awak balik dulu dengan yang lain. Saya
nak stay di sini,” ujarku
berhati-hati, menolak pelawaan Haziqah dengan baik.
Seperti biasa, aku akan menghabiskan masa
di masjid sendirian, fokus mencari modal untuk hari esok. Sebelah tiang di
hujung sudut masjid, seakan-akan bilik kedua aku. Entah kenapa sejak menuntut
di sini,hati aku lebih senang memilih untuk memencilkan diri dari yang lain.
Hati terasa sangat tenang berada di masjid Darul Quran yang menghadap tasik
ini.Luas dan lapang.Beruzlah di masjid bersama burung-burung yang menghiburkan
kononnya. Haha.
“Busyra, kau tak rasa kau dah macam kera
sumbang? Hidup hanya dikelilingi rakan halaqah dan rakan sebilik.
Sahabat-sahabat pensijilan yang lain, kau kenal?” Jiwa kecil mempersoalkan
tindakan diri yang digerakkan hati.
“ Kera sumbang? Memang pun. Sememangnya
aku lagi suka jika ramai yang tidak mengenali aku apatah lagi aku yang sebenar.
Lagi pun aku di sini perlu fokus. Harapan ummi terlalu tinggi pada aku.”
“ Sekejap, aku bukan kera sumbang. Cuma
aku kurang berminat untuk menghabiskan masa dengan berborak kosong. Salahkah
aku tumpukan perhatian aku pada Al Quran?”
Akhirnya persoalan itu hanya mati begitu
sahaja. Hati dan jiwa seakan tidak seiring.
Setiap hari, aku akan membuat target aku
sendiri, berapa muka surat yang wajib aku tasmik. Kebiasaannya, aku mewajibkan
diri aku untuk tasmik sekurang-kurangnya tujuh muka. Jika gagal, maka aku akan
meng’iqab’ diri sendiri, sebagai denda kerana tidak bersungguh-sungguh mencapai
matlamat yang digariskan. Namun, jika aku berjaya melebihi target aku, iaitu
sebanyak tujuh muka, ganjaran akan menyusul sebagai penghargaan dan motivasi
untuk terus bersemangat pada hari yang seterusnya.
Pesan Ummi, kita seharusnya susun dan
rancang dalam setiap perkara yang kita lakukan. Salah satu ciri muwasofat
tarbiyyah ialah tersusun urusannya. Kata-kata Saidina Ali R.A, ‘Kebenaran yang
tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun’ ku pahat kukuh
dalam ingatan. Buku nota berwarna merah jambu diselak. Pen hitam Faber Castel
dicapai, dan pena terus menari riang merangka jadual harian aku di sini.
8.30 – 11.30 pagi :
Kelas tasmik
11.30
– 1.00 petang : Modal 2 atau 3 muka
2.00 – 4.00 petang :
Modal 3 atau 4 muka
5.30 – 6.30 petang :
Liqa’ asar / bebas
7.30 – 8.00 malam :
Cukupkan modal
9.00 – 11.30 malam :
Iadah
Bismillah. Jadual telah disusun, tinggal
diri sendiri untuk mengikuti jadual tersebut dengan berdisiplin. “Ayuh Busyra ,
betulkan niat, anda mampu mengubahnya.Semoga Allah Redha” bisik hati kecilku.
*****
“Busyra, macam mana awak menghafal?
Sebelum ini, awak tak pernah menghafal kan? Ramai yang kata awak laju”
Sumayyah menyapa aku seusai liqa’ asar
melabuhkan tirainya. Aku yang masih di dalam mood liqa’ asar terpinga-pinga
diserbu soalan oleh beliau. Liqa’ asar atau sebenarnya sebuah bulatan yang
terdiri daripada pelajar Darul Quran, baik pensijilan mahupun Diploma merupakan
satu medan untuk berkongsi apa-apa sahaja sama ada tazkirah, pengalaman atau
cerita-cerita yang bermanfaat. Aku sangat gemarkan suasana ilmiah yang wujud di
sini, setiap masa ada sahaja medan untuk berkongsi. Medan perkongsian ilmu yang
dikatakan salah satu aspek yang membentuk Biah Solihah di sini. Liqa’ Asar juga
tempat untuk pelajar ‘sembang santai’ , dan membuka minda mengenai isu-isu
semasa yang berlaku.
“Alhamdulillah, haza min fadhli robbi.
Saya hanya biasa-biasa sahaja, awak boleh tanya yang lain lagi hebat. Cuma saya
seronok je untuk berkongsi.Kalau saya, saya akan fahamkan dahulu ayat itu
tentang apa dan kaitan dengan ayat yang seterusnya.Setelah itu, bila awak baca
ayat tersebut, bacalah seperti awak ingin ceritakan pada yang lain, seolah-olah
awak sedang bercerita.” Jawabku dengan semangat.
“Owh. Saya pun dah cuba untuk fahamkan
ayat dulu. Tapi saya tak selaju awak, saya lambat. Satu jam belum tentu dapat
satu muka. Mungkin saya memang tak layak untuk hafal Quran,” Adu Sumayyah
perlahan. Tergambar riak kecewa, sedih dan putus asa – bercampur aduk membentuk
satu aura yang tidak menyenangkan.
“Saya pun sama, satu jam belum tentu
dapat.Awak, kita tidak mampu untuk ubah kemampuan daya ingatan kita yang Allah
telah anugerahkan, tetapi kita mampu ubah daya usaha kita. Setiap orang ada
kelebihan dan kekuatan masing-masing.Hanya kita sendiri yang tahu tahap
kemampuan kita macam mana.”
“Maksud awak?”
“Contohnya saya, saya tahu saya perlu baca
banyak kali dan betul-betul fokus untuk tasmik dengan lancar. Jadi saya akan
korbankan waktu-waktu yang saya boleh korbankan. Kalau orang lain tidur pukul
11 malam, mungkin kita tidur pukul 12? Kalau orang lain lepas kelas tasmik
lebih selesa untuk berehat-rehat dahulu, mungkin kita terus bergerak untuk hari
yang seterusnya? Allah tidak akan pernah hampakan hamba-Nya yang berusaha,
tinggal diri kita sendiri. Dan satu lagi yang ummi saya selalu pesan, kita
menghafal kalam Allah, tetapi kita jauh dari-Nya, adakah benar-benar kita
menghafal kerana-Nya? Jadi, solat malam, witir dan dhuha adalah satu kewajipan
buat kita. Berdoa dan mengadulah pada-Nya, sesungguhnya Dia sangat merindukan
rintihan dan luahan hamba-Nya.”
“Subhanallah,saya kagum. Terima kasih
awak. Saya sangat hargai perkongsian awak hari ini. Doakan saya ye Busyra.”
“Allah, saya pun masih bertatih mencari
rentak. In shaa Allah, saya yakin awak boleh. Kita sama-sama doa ye awak.”
Aku memandang tampang Sumayyah yang mula bersinar
dengan semangat baru.Serentak satu perasaan luar biasa menyapa. Rasa bahagia
dapat berkongsi, rasa gembira dapat menggembirakan yang lain. Semoga semangat itu kekal sehingga hari yang
mendatang. Lantas buku merah jambu dicapai lagi, satu helaian dikoyak lalu ku
hulurkan kepadanya.
“Nah, ambiklah. Saya hadiahkan buat
awak.Coretan itu saya tulis selepas muhasabah Quran ketika SYABAB dulu.Maaf
hanya ini sahaja yang saya mampu, semoga membantu,”
Duhai hati,
Mengapa perlu bersedih dengan Al Quran,
Bukankah Al Quran itu berita gembira
dari Ar Rahman?
Duhai hati,
Mengapa perlu resah dengan Al Quran,
Sedangkan Al Quran itu membawa
ketenangan?
Duhai hati,
Mengapa perlu kecewa dengan Al Quran,
Bukankah kelak dialah yang diharapkan
sebagai teman?
Duhai Hati,
Mengapa perlu putus asa dengan Al
Quran,
Sedangkan kamu mengharapkan dia menjadi
lindungan?
Duhai hati,
Usirlah rasa itu.
Sucikanlah dirimu.
Sesungguhnya Al Quran itu kalam-Nya
yang suci,
Berada dekat pada hati yang suci.
Sesungguhnya hati ini hanya kuat
kerana-Mu ya Allah..
Mata bundar itu mula bertakung dan
perlahan-lahan mutiara-mutiara jernih mengalir pada pipi mulus
Sumayyah.Bibirnya bergerak-gerak seakan ingin berkata sesuatu.Lantas badannya
ku dakap. “Saya tahu awak boleh. Dan jangan lupa, saya sentiasa bersedia untuk
berkongsi” bisikku perlahan sambil menggosok belakangnya perlahan, cuba
mengurangkan bebanan persaan beliau.Aku mengerti perasaan itu kerna aku juga
pernah melaluinya ketika muhasabah Quran dahulu. Cuma yang membezakan, keadaan
aku lebih teruk, keadaan yang berbeza namun hasil perasannya sama. Sakit dan
perit.
Muhasabah Quran. Muhasabah yang mengajar
aku erti kebersamaan, erti persahabatan dan erti perjuangan yang sebenar.
Setiap kali aku terkenangkan muhasabah
Quran, nama itu akan bermain di minda. Pasti.Izzah Yasirah, bagaimana agaknya
dia sekarang?
Dan
aku membiarkan fikiran aku menerawang, terbang merentasi arus masa ke satu
lembah kenangan yang tersimpan kemas dalam kotak memori.
*****
Pagi itu, angin sejuk sehingga ke tulang.
Kami menggigil menahan kesejukan.Seawal tiga pagi, kami telah dikejutkan oleh
koordinator program yang diketuai oleh akak unit DNI – Disiplin dan Ibadah.
Semua peserta Synergy Of Ulul Albab ( SYABAB) yang terdiri oleh pelajar
pensijilan semester satu, masing-masing terpisat-pisat menahan kantuk. Tidak
kurang juga yang terpinga-pinga tanda tidak mengerti. “Apa agaknya aktiviti
pagi ini ya?” soalku sendirian, penuh tanda tanya. Namun, riak akak DnI yang
mengalahkan singa betina hilang anak itu, mebuatkan kami terus menanti agenda
pagi itu dengan penuh debaran. Tambah lagi, akak-akak fasilitator yang sebelum
ini semuanya ceria turut mempamerkan
wajah tegang.
“Adik-adik! Dalam kiraan lima, buat satu
bulatan besar. Lima...Empat...”
Kami terkocoh-kocoh berlari-lari membentuk
satu bulatan besar. Mata terus terasa segar dek lantunan suara akak DnI yang
bagaikan halilintar sebentar tadi.
“Yang muqarrar juzuk 1 maqra’ 5 dan ke
atas, selangkah ke depan.” Arahan seterusnya dikeluarkan.
Separuh daripada peserta melangkah ke
hadapan membentuk dua bulatan dan aku antara salah seorang daripada bulatan
kedua.
“Yang muqarrar juzuk 2 maqra’ 1 dan ke
atas, selangkah ke depan.”
Beberapa peserta melangkah ke hadapan
termasuk aku. Tiga bulatan telah terbentuk.
“Yang muqarrar juzuk 2 maqra’ 5 dan ke
atas, selangkah ke depan.”
Aku bersama tiga lagi peserta yang lain
melangkah. Aku memerhati setiap wajah yang berada dalam bulatan yang sama.
Sorang bekas pelajar MTQN Pahang, dua orang lagi bekas pelajar Imtiaz. Semuanya
pernah menghafal tiga puluh juzuk. Ah hati mula tidak tenang,resah dan gelisah.
Hanya aku yang tidak pernah menghafal berbanding dengan tiga yang lain.
“ Yang muqarrar juzuk 3 dan ke atas,
selangkah ke depan.”
Hanya Syazwani melangkah ke depan
menjadikan bilangan bulatan bertambah. Lima bulatan.
“Wow, banyaknya bulatan! Hebat! Ini yang
dikatakan ukhuwwah? Kenapa perlu ada bulatan yang berlapis-lapis? Kenapa perlu
ada jurang yang terlalu jauh? Juzuk tiga dan juzuk 1, adik-adik masuk kelas tasmik
yang berbeza-beza ke?Setahu akak, semua dah masuk lima kali kelas kan?”
Akak DnI menembak kami dengan soalan yang
bertubi-tubi.Semua peserta hanya mampu menundukkan wajah. Terdengar bunyi
esakan kecil.Aku kurang mengerti, kenapa kami perlu dimarahi dek muqarrar kami
yang berbeza-beza? Bukankah setiap orang ada kemampuan masing-masing?
“Awak tasmik berapa muka satu hari?” tanya
salah seorang akak fasi kepadaku.
“Er tujuh muka.” Jawabku teragak-agak.
Kaget.
“Awak tasmik berapa muka?” Salah seorang
peserta dari bulatan pertama disoal.
“Dua” Jawabnya dalam esakan.
“Dua! Yang bulatan depan dengar tak?
Korang nak khatam sorang-sorang ke? Nak tinggal yang belakang-belakang ni sakit
sendiri?”
Kata-kata Akak DnI menyentap hati aku. Terasa
bagai disimbah air,tersedar dari mimpi. Perasaan bersalah mula menebal. Ya
Allah, selayaknya panggilan ‘pentingkan diri’ itu disandarkan kepada aku. Aku
tidak pernah bergerak untuk membantu mereka yang lemah. Tangisan sesalan
memenuhi ruang.
Aku memandang peserta yang disoal sebentar
tadi.Wajahnya ditunduk, mungkin rasa rendah diri menguasai hati. “Jangan begitu
sahabat, maafkan saya. Saya akan cuba untuk membantu semampu saya selepas ini.”
Aku hanya mampu berbisik dari jauh. Mataku mencari-cari tanda nama peserta
tersebut, terpampang sebuah nama indah. Izzah Yasirah.
*****
Alunan kumpulan Fursan menyanyikan nasyid
keinsafan diri menyedarkan aku.Telefon pintar diambil, jari digerakkan
merentasi skrin, membuka pesanan ringkas dari ummi tersayang. Sumayyah telah
lama berlalu setelah tangisannya reda, meninggalkan aku menggelamun sendirian.
“Assalamualaikum Busyra. Macam mana tasmik
hari ini?”
“waalaikumussalam ummi.Alhamdulillah,esok
Busyra masuk juzuk empat. Doakan Busrya ye ummi.”
“Alhamdulillah. Ummi sentiasa doakan
Busyra cemerlang di dunia dan akhirat. Busyra, semakin bertambah bilangan juzuk
yang dihafal, semakin bertambah tanggungjawab Busyra. Amalkan ajaran Al-Quran
yang dilantun dan dihafal setiap hari. Jangan lupa sujud syukur ye
sayang.Hajat,taubat dan witir jangan tinggal.Banyakkan berpuasa, ekspresikan
syukur kita dalam pelbagai cara.”
Aku tersenyum. Ah ummi, Busyra rindu.
‘ Dan sesungguhnya telah kami berikan nikmat kepada Luqman,
iaitu : “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada
Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa
yang tidak bersyukur , maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”
(Luqman : 12)
Bersambung..
Comments
Post a Comment