Jam 9 pagi. Matanya mulai layu membaca baris-baris perkataan atas lembaran permukaan buku. Fokusnya mulai lari. Dia bangkit dari sofa empuk berwarna merah gelap itu, dan menggeliatkan tangannya ke udara. Nafasnya ditarik dalam-dalam untuk menghirup lebih banyak molekul oksigen ke dalam peredaran darahnya.
Layyin terdengar suara sayup-sayup dari dalam bilik atuk dan neneknya. Biasanya atuk tidur bila berada di bilik. Bunyi televisyen yang masih terpasang berdengung-dengung dengan suara-suara dan muzik.
Untuk menghilangkan kebosanan, dia menjenguk ke dalam bilik itu dan melabuhkan punggung di atas kerusi di antara katil bujang mereka. Atuk dan neneknya tidur di atas dua katil bujang yang berasingan sejak beberapa tahun yang lalu. Kedua-duanya menggunakan katil ala-ala katil pesakit di hospital untuk memudahkan pergerakan mereka berdua yang sudah semakin berusia. Walaupun jarak kecil memisahkan mereka, kasih sayang mereka sentiasa mekar walaupun di hujung bahtera kehidupan mereka.
Ketika itu, nenek sedang mencapai sekeping kertas. Terdapat zikir-zikir harian yang dicetak atasnya dengan dakwat hitam. Dia tersenyum lebar apabila melihat Layyin masuk. Layyin pula tersengih seperti biasa. Jelas kelihatan kedutan dan lipatan kulit di wajah wanita yang sangat dikaguminya itu. Badan neneknya sudah semakin kurus, beratnya hanya 45 kg, lebih ringan daripada Layyin.
Kemudian, nenek menghulurkan kertas zikir tadi kepada atuk.
"Abah, cuba baca ni. Boleh baca tak?"
Abah. Itu gelaran yang nenek Layyin bahasakan kepada suaminya.
Atuk pun memegang kertas itu dan mulai membaca dengan laju.
"لا اله الا الله محمد رسول الله"
سبحان الله و بحمده سبحان الله العظيم
استغفر الله العظيم الذي لا اله الا هو الحي القيوم واتوب اليه"
"Haa pandai alhamdulillah~," ujar nenek dengan nada ceria, umpama memuji seorang kanak-kanak.
"Okay kita cuba ngaji pulak."
Layyin melihat neneknya mencapai naskah Juzuk Amma yang sudah usang. Helaian-helaian muka surat di dalamnya sudah jelas kekuningan dimamah masa.
![]() |
credits to: cahayaasyihin.wordpress.com |
"Abah, ingat tak surah an-Nas?," tanya nenek lagi.
"Ingat," jawab atuk ringkas. Atuk memang sudah kurang bercakap. Perkataan-perkataan seperti perlahan-lahan menghilang dari fikirannya. Penyakit dementia yang dihidapinya semakin menampakkan tanda-tanda.
"Cuba abah baca."
Atuk pun mulai membaca surah an-Nas dengan lancar dan laju, walaupun sebutannya sudah semakin kurang jelas.
"Good.. Al-Falaq?"
Atuk membaca pula surah al-Falaq dengan lancar pada mulanya, namun terkeliru di dua ayat yang terakhir.
Apabila diminta membaca surah al-Ikhlas, an- Nasr, al-Lahab, al-Asr dan al-Kauthar, alhamdulillah atuk masih mampu membaca dengan lancar. Namun, apabila diminta membaca surah al-Ma'un, atuk mulai terkeliru.
"Cuba baca surah al-Ma'un bah."
"Tak ingat mula dia."
"ارءيت الذي ؟"
"Tak ingat," jawabnya ringkas dan tegas. Ketegasan memang sebahagian daripada atuk daripada zaman mudanya. Maklumlah, dulu atuk merupakan seorang ahli ekonomi yang pernah bekerja di syarikat swasta dan jabatan kerajaan. Namun kuasa Allah, kuasa akal manusia milik Tuhan. Bila sampai masanya, pasti diambilnya kembali.
Nenek tetap cuba menguji ingatan atuk.
"ارءيت الذي؟"
"ارءيت الذي ينهي"
"Bukan, ارءيت الدي يكذب بالدين"
"Tak ingat."
"Okey takpe cuba baca al-Qadr."
"Tak ingat.
Dah dah dah letih." Suara atuk sudah mulai serak.
"Okey good boy. Rest pulak ye," kata nenek sambil membetulkan selimut atuk. Seperti anak kecil, atuk perlu diselimutkan.
"Nak minum."
Nenek pun menghulurkan botol air yang terletak di meja sisi ke atuk. Beberapa teguk air dihisap oleh atuk dari botol Tupperware bersaiz kecil itu. Setelah puas, nenek mengambil semula botol, menutupnya kembali botol dan meletakkannya ke atas meja.
Mata atuk mulai layu, tandanya mahu berehat.
"Meh sini, meh sini," kata atuk.
"Apa dia bah?"
"Let me kiss you."
Nenek pun bergerak rapat ke katil atuk dan membongkokkan badannya ke arah atuk. Supaya atuk boleh mencium pipinya. Atuk memang seorang yang suka memaparkan kasih sayangnya melalui ciuman dan pelukan kepada isteri dan anak-anak.
Layyin tersenyum melihat mereka. Sengaja memilih untuk hanya menonton buat kali ini. Dia mahu lihat bagaimana atuk berinteraksi dengan nenek secara natural. Walaupun penyakit dementianya menyebabkan atuk lupa pada banyak perkara dan muka ahli keluarga dan kenalan, Pah ataupun nenek ialah nama tunggal yang sentiasa di hati dan mindanya. "Permaisuri saya", itu yang selalu disebutnya.
Layyin tak menyangka atuk masih mengingati surah-surah tersebut. Atuk menghidapi penyakit Dementia, atau lebih spesifik, vascular dementia. Ini menyebabkan atuk sering lupa-lupa.
Melihatkan atuknya yang suatu ketika dulu kritis dan cergas, namun sekarang tak ubah seperti bayi kecil dan lemah, membuatkannya insaf dan menilai kembali kehidupan mudanya. Suatu ayat dari surah ali-Imran menjengah ke fikirannya.
"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit & bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa." - Surah Ali Imran, 3:133
Tamat.
------------------------------
Kemampuan untuk membaca al-Quran suatu nikmat. Kita takkan tahu bila nikmat itu ditarik; mungkin penglihatan, mungkin pendengaran, mungkin suara dan kemungkinan besar kemampuan akal itu sendiri. Siapakah kita untuk menjamin semua deria ini milik kita sehingga penghujung nyawa?
Senja bakal tiba setelah matahari puas meninggi. |
Jom tadabbur apa yang telah Allah katakan dalam al-Quran yang tercinta. Sudah lama Allah nyatakan di dalam al-Quran tentang usia tua. Tinggal usaha kita sahaja untuk membuka mata dan mulai mengakui kebenarannya dalam jiwa.
"Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (Surah Ar Ruum, 30: 54)
"Dan barang siapa yang Kami panjangkan umurnya niscaya Kami kembalikan dia kepada kejadian (nya). Maka apakah mereka tidak memikirkan?" (Surah Yasin, 36: 68)
"Allah menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu; dan di antara ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (pikun), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang pernah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." (16: 70)
Hargai masa mudamu sebelum tua.
Auni B
11.30 malam
30 Julai 2016
Comments
Post a Comment