Setelah aku berjaya mengkhatamkan Risalah untuk Warga Tua, salah satu risalah daripada Risalah An-Nur, yang ditulis oleh Badiuzzaman Said Nursi, air mata ku tumpah menderu-deru. Segunung dosa begitu berat membenani jiwa dan perasaan. Keinsafan semakin menyelubungi diri tatkala dahi dirapatkan ke bumi, bersujud di hadapan Ilahi..
'Ya Allah.. betapa aku menzalimi diri.. Ampunilah diriku..'
Mengapakah gambaran kematian yang begitu menakutkan tidak pernah ku bayangkan sebagaimana Badiuzzaman bayangkan. Beliau benar-benar terpaku setelah membaca sebaris Firman Allah dari Surah Al-Qasas ayat 88 :
Maksudnya : "... tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan zat Allah. bagiNyalah
Kuasa memutuskan Segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk
dihitung amal masing-masing dan menerima balasan)"
Beliau menukilkan di dalam bukunya,
Rahsia tersebut terbongkar kepada saya dalam keadaan yang amat jelas sehingga saya mengulang-ulangi perkataan "Wahai Tuhan yang Maha Kekal, Engkau sesungguhnya Tuhan Yang Maha Kekal!" Dari sinilah saya mengambil hiburan saya yang hakiki. Ya, saya dapat melihat diri saya berdasarkan rahsia ayat yang mulia ini, ketika berada dalam keadaan sedih dan dukacita. Saya melihat berada di bahagian atas tiga jenazah besar sebagaimana yang saya isyaratkan di dalam Risalah Mirqah al-Sunnah (Tangga al-Sunnah) :
Pertama :
Saya melihat diri saya sebagai seorang yang sedang meyaksikan satu kubur yang mengandungi lima puluh lima orang Sa'id yang telah mati dan dikebumikan semasa hayat saya, berdasarkan usia saya yang sudah mencecah 55 tahun.
Kedua :
Saya melihat diri saya umpama makhluk yang amat kecil seperti semut yang sedang merayap di atas permukaan zaman ini yang seumpama seseorang yang sedang menyaksikan kubur jenazah besar bagi manusia yang sebangsa dengan saya, yang telah dikebumikan di perkuburan masa lalu semenjak zaman Nabi Allah Adam a.s
Ketiga :
Terpampang dalam khayalan saya berdasarkan rahsia ayat al-Quran tersebut juga bahawa dunia yang besar tersergam ini mati, sebagaimana matinya sebuah planet lain setiap tahun, sebagaimana matinya manusia.. Demikianlah bagaimana pentafsiran secara ishari (isyarat) terhadap ayat al-Quran berikut telah membantu saya. Firman ALLAH dalam Surah At-Taubah:
Maksudnya : kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad):
"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang
mempunyai Arasy Yang besar."
Ayat di atas telah memberikan cahaya yang tidak kunjung padam kepada saya. lalu menghapuskan segala perasaan dukacita yang saya alami hasil daripada kematian Abdul Rahman (murid Risalah An-Nur pertama). Ayat tersebut juga menganugerahkan kegembiraan dan hiburan yang hakiki.
Ya, ayat tersebut telah mengajar saya bahawa selagi mana Allah wujud, maka ia menjadi ganti kepada segala perkara. Selagi mana Allah kekal, maka cukuplah ia bagi para hambaNya. Kerana hanya satu jelmaan daripada jelmaan inayahNya sudah menyamai seluruh alam ini. Satu jelmaan sahaja daripada jelmaan nurNya yang meliputi telah memberikan kehidupan maknawi yang sempurna kepada ketiga-tiga jenazah tersebut, seolah-olah ia bukan jenazah lagi, bahkan ia menjadi seperti orang-orang yang telah menyelesaikan segala tugasan mereka di atas muka bumi ini lalu berpindah ke negeri lain.
_________
Sahabat-sahabatku sekalian,
Jujurnya ingin ku ceritakan segala yang ku baca dari buku ini kerana manfaatnya begitu besar kepada kita lantaran membawa kita menyedari hakikat kehidupan, iaitu sebuah kesementaraan. Setakat ini dulu perkongsiannya, semoga kalian berkesempatan untuk membacanya pada suatu masa nanti.
Di sini, inginku rakamkan sebuah kisah yang membantu aku menggambarkan bait-bait dalam buku tersebut.
Pagi Jumaat.
“Wawa balik keee?”, tiba-tiba
mesej dari sahabatku masuk.
“Aah balik. Tapi, balik lewat
sikit harini. Kenapa tu..?”, laju sahaja tanganku membalas mesej sahabatku.
Mana tidaknya, hampir mencecah dua tahun tidak berjumpa. Hati rindu dan berbunga
setiap kali dapat berhubung kembali.
“Hajar ingat nak pergi ziarah
kubur. Sebelah UIA ni je. Tapi, takde teman lagi ni..”, aku membaca
berkali-kali. Mesej ini aneh. Ajakan ke kubur dan seperti ada rayuan untuk aku
menemaninya.
“Oh yeke. Ziarah kubur tu berapa
minit dari sini? Naik apa, Hajar?”, aku cuba memastikan sama ada ajakan itu
serius atau gurauan.
“Lalu pintu belakang UIA. Dekat
je.. naik teksi boleh jugak”, ajakannya semakin serius. Mungkin ada saudaranya
di situ.
“Kubur siapa tu, Hajar?”, hati
ini semakin membara mendapatkan kepastian.
“Takde sesiapa yang Hajar kenal
pun.. semalam lecturer Hajar cerita pasal ziarah kubur”, jawapannya menambahkan
keanehan, lebih-lebih lagi bagi orang seperti aku yang hanya ziarah kubur jika
ada saudara yang dikenali di kubur tersebut. Namun, di sebalik keanehan rasa,
aku yakin ada niat mendalam yang menolaknya untuk pergi ke sana. Aku segera
membatalkan agenda yang telah aku susun pagi itu dan setuju untuk menemaninya.
*****************************
Di dalam teksi. Kami berempat
termasuk pakcik teksi.
“Nak ke mana, dik?”, tanya
pemandu teksi.
“Kubur sebelah UIA, pakcik.
Pakcik tau ke?”
“Tau-tau. Ada saudara yang
meninggal ke?”
“Takde siapa pun pakcik. Kami nak
ziarah kubur je”, kelihatan dahi pakcik itu sedikit berkerut. Dia hanya diam
dan meneruskan perjalanan. Dalam masa yang sama, kedengaran lagu tentang mati
sedang dinyanyikan di corong radio. Kami bertiga saling berpandangan, seperti tahu-tahu sahaja destinasi kami adalah kubur belakang UIA. Suasana menjadi hening seketika.
“Pakcik, setengah jam lagi pakcik
free tak untuk ambil kami?”, tanya Hajar sebaik sampai di kawasan perkuburan.
“Free. Ok, nanti pakcik datang”
*****************************************
Di Tanah Perkuburan Islam UIAM,
Sungai Pusu, Gombak.
Suasana matahari yang panas terik
menyebabkan kami berteduh di bawah bumbung terlebih dahulu. Setelah beberapa
minit berteduh dan memberi salam kepada ahli kubur, kami berjalan mendekati
kubur yang berhampiran.
![]() |
Ucapan salam buat ahli kubur |
Tiga kerusi kecil yang tersusun di sebelah salah satu kubur
mendorong kami untuk duduk sebentar di situ. Aku membaca nama yang tertulis di
batu nisan. ‘Oh, jenazah di dalam ni orang Nigeria’. Lantas, ku pandang rakan
di kanan dan kiriku, masing-masing terkumat kami membaca al-Fatihah dari tadi.
‘Apalah amalan orang ini ye?
Walaupun kami tidak mengenali dirinya, tapi dia sedang menerima sedekah dari
orang yang hidup sedangkan dia sudah berada di alam yang abadi’, getus hatiku.
“Lecturer Hajar kata, ziarah
kubur ini boleh melembutkan hati.. Ziarah kubur mengingatkan kita akan hakikat
sebenar sebuah kehidupan. This is our real life. Kehidupan yang sebenar bermula
ketika kita di alam kubur, bukan di dunia. Dunia ni sementara dan semua yang
hidup di dunia ini akan mati..”, kata-katanya cukup menyentuh hati.
Suasana di
sekeliling juga membantu hati ini menerima kebenaran kata-kata itu. Tersusun
beratus-ratus batu nisan di hadapan kami beserta hamparan langit yang luas di
depan mata. Matahari yang sudah berselindung di sebalik awan menjadikan suasana
bertukar mendung ibarat mendungnya hati-hati kami.
Gambar Hiasan |
“Jika difikirkan, apalah
signifikannya kita beri salam kepada ahli kubur, mereka kan semua sudah mati.
Sebenarnya mereka hidup dan mereka cuma berpindah ke alam lain. Bagi
orang-orang Islam, mereka tak terlalu sedih meninggalnya salah seorang
kenalannya kerana mereka yakin akan dipertemukan kembali..”, sambung Hajar lagi
sambil mengalirkan butir jernih di pipinya.
Di sebalik nasihat itu, aku memahami hikmah Allah menyembunyikan suara ahli kubur. Andai saja, manusia di dunia boleh mendengar suara ahli kubur, tidak dapat ku bayangkan ratusan manusia itu menjawab salam yang kami beri tadi. Dan mungkin juga ada jeritan atau raungan menyeramkan yang tidak sanggup didengari oleh penduduk dunia.
Di sebalik nasihat itu, aku memahami hikmah Allah menyembunyikan suara ahli kubur. Andai saja, manusia di dunia boleh mendengar suara ahli kubur, tidak dapat ku bayangkan ratusan manusia itu menjawab salam yang kami beri tadi. Dan mungkin juga ada jeritan atau raungan menyeramkan yang tidak sanggup didengari oleh penduduk dunia.
Melihat awan-awan yang terbentang
luas sebaik mendongakkan kepala ke atas, aku terpanggil untuk berkongsi rasa
hati.
“Haritu, Wawa pergi kelas
tadabbur Surah Al-Mulk. Bila sampai ayat kedua, الذي
خلق الموت والحيوة ليبلوكم أيكم أحسن عملا . Ustaz kata, antara
sebab Allah mendahulukan kalimah ‘al-maut’ kemudian ‘al-hayah’ adalah kerana
kehidupan sebenar kita bermula ketika kita MATI, kemudian diteruskan dengan
kehidupan di akhirat. Dan bagaimana nak menjadi ‘orang yang paling baik
amalannya’ adalah dengan sentiasa mengingati mati”
“Dalam Surah Al-Mulk juga, Allah
ada sebut bagaimana bentuk awan yang Allah cipta. Kita tak akan jumpa satu pun
bentuk awan yang tak sesuai dan munasabah. Corak yang ada di awan sentiasa sesuai,
cantik dan menginsafkan walau dari arah manapun kita pandang. Kemudian, Allah
minta kita ulang pandangan itu berkali-kali, untuk melihat apakah ada sebarang
kecacatan, dan kita takkan jumpa sebarang kecacatan, malah kitalah yang akan
letih (kerana habis tenaga dengan sia-sia). Itulah salah satu bukti
kesempurnaan Allah, sedangkan kita penuh dengan kekurangan.. ”
***********************************
Di ruang solat Masjid Sultan Haji
Ahmad Shah.
Kami masih tidak puas mengutip mutiara
hikmah dari kematian.
“Hajar.. sebenarnya apa yang
lecturer Hajar tu cerita?”
Pensyarah UIA berjiwa pendidik |
Pelbagai perkongsian hidup almarhum
dan almarhumah yang telah pergi menghadap Tuhan menghiasi perbualan kami. Terbongkar
satu demi satu kebaikan-kebaikan insan yang telah pergi. Hati kami
perlahan-perlahan dimasuki rasa sejuk dan nyaman ibarat titisan air embun di
pagi hari. Semakin lembut dan lunak dengan nasihat dan peringatan. Seorang demi
seorang mengalirkan air mata menginsafi diri.
Perbualan kami diakhiri dengan
pesanan ini:
“Kita kena hargai orang di sekeliling kita betul-betul, sebab kita tak pernah tahu siapa yang akan pergi dahulu. Tidak ada jaminan kita akan berjaya habiskan degree di UIA ni, andai mati menjemput dahulu. Malah, nafas sesaat selepas ini pun bukan dalam jaminan kita”
Sebelum berpisah, kami saling
berpelukan dan saling memohon maaf. Jujur ku akui, itulah pelukan yang
membahagiakan selepas pelukan ibu, pelukan seorang sahabat. Pelukan yang
dirasakan ‘andai ini penghargaan terakhir buat sahabatku..’
Semoga kubur menjadi tempat yang selalu kita ziarahi. Mudah-mudahan Allah Al-Latif melembutkan hati kita untuk menerima setiap sapaan hidayahNya. Amiin.
___________
Gabungan pengalaman :
Asmaa Allam
Jannah Ismail
Nurul Husna Nur ‘Izzat
Jumaat, 17 Februari 2017
Comments
Post a Comment