PROLOG
‘Hidup ini akan terasa penat apabila kau
mengharapkan penghargaan daripada manusia.Kau rasakan kau telah berpenat lelah
melakukan segala, kaulah yang paling banyak bekerja, hakikatnya kosong. Kenapa?
Sebab kau tak ikhlas. Dan apabila kau jatuh, kau lupa pada Yang Kuasa, lupa
pada hikmah aturan Dia.Carilah Dia dalam sujudmu, hadapilah kehidupan dengan
kefahaman dan iman,bukan bertonggakkan hamasahmu. Sesungguhnya Rahmat ALLAH
mengajar kita untuk percaya.’ – BUSYRA
CERITA 1
Pagi itu awan mendung mencorak langit.
Berambal-ambalan perlahan-lahan, terlalu ‘penuh’ lalu memuntahkan segala isi
membasahi kota Shah Alam yang tidak pernah sepi.Mercedes hitam berjaya melepasi
persimpangan universiti sebelum lampu isyarat bertukar warna.Hyundai di
belakangnya gagal mengekor jejak,terpaksa berhenti apabila lampu merah
menyala.Kak Yah menghela nafas lega. Kota yang sentiasa sesak dengan kereta
terutamanya pada waktu pagi,ditambah
lampu isyarat yang lama – selalu melambatkan perjalanan – sudah
ditinggalkan. Kereta terus meluncur laju
membelah lebuhraya Utara Selatan ke satu tujuan yang pasti , Bumi itu.
Aku membiarkan diri ini dibawa hanyut arus
emosi. Entah, aku sendiri tidak pasti apakah yang perlu aku rasakan sekarang
ini. Gembirakah aku? Sedihkah aku? Yang pasti rasa resah dan gementar menjuarai
carta. Aku mengalihkan pandangan ke depan,memandang mereka yang berkorban masa
untuk menghantar aku. Ummi begitu khusyuk membaca proposalnya
di tablet, katanya minggu hadapan
proposal tersebut perlu dihantar
kepada supervisor. Kak Yah meneruskan pemanduan dengan tenang.
Kadangkala kelihatan bibir mungilnya bergerak-bergerak mengikut rentak alunan
nasyid bagi menghilangkan kantuk.
Aku mencapai akhbar Sinar Harian yang
dibeli di stesen minyak sebelum kami bertolak sebentar tadi. Helaian demi
helaian diselak. Mataku tertancap pada berita seorang anak kecil dilaporkan
lemas ketika bermandi-manda bersama adik beradiknya yang lain. Walaupun berita
itu begitu biasa mutakhir ini, tapi aku tetap berasa sayu menatap gambar ibu
kepada mangsa menangis di tepi jenazah anaknya. Ibu mana yang tidak sedih
apabila anak yang selama ini dibesarkan dengan pengorbanan pergi untuk
selama-lamanya. Sedangkan keberangkatan aku ke bumi itu – berpisah jauh dari
keluarga, ummi masih berat untuk melepaskan aku. Aku mengeluh, sebenarnya bukan
sahaja ummi, hati aku sendiri juga terasa berat dengan perpisahan ini. Untuk
kesekian kalinya.
‘Apabila solat telah dilaksanakan,maka
bertebaranlah kamu di bumi ; carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak
agar kamu beruntung’
(Al-Jumuah : 10)
Astaghfirullah, gemersik suara ustazah huda mengalunkan kalam Pencipta
seminggu yang lalu ketika aku mengkhabarkan permusafiran ini kepada beliau,
menyedarkan aku. Sepatutnya aku
bersyukur kerana diberi peluang menjelajah bumi tuhan.
*****
“Ummi, permohonan pensijilan Darul Quran –
UIAM untuk kemasukan 2014 telah dibuka secara online.Busyra ingat , Busyra nak isilah ummi.”
Dengan suara yang masih termengah-mengah
dek berkejaran ke pondok italk seusai
kelas persediaan malam tamat,aku menyatakan hasrat kepada ummi.
“Betul Busyra nak ke sana? Busyra sudah
solat sunat istikharah? Kalau Busyra sambung ke sana, Busyra akan lebih lambat
dari rakan-rakan yang lain.Kalau dah yakin, baru isi. Jangan sampai kita
menjadi penutup lubang pada peluang orang lain”
*****
“Assalamualaikum ustaz. Nama saya Busyra Sofiyyah binti Mohd” Dengan suara terketar-ketar,aku memberi
salam. Haish,tenang Busyra. Ini baru temuduga dunia.
“Silakan duduk” Tanpa senyuman, penemuduga
memberi arahan.
"Dapat hafal satu muka?Awak menghafal di mana tadi?” sambungnya
lagi sejurus arahan pertama dikeluarkan.
“Er saya dapat hafal sampai ayat 65
sahaja,tak dapat satu muka.Maaf ustaz.”
“Okay silakan baca”
Dan aku melantunkan suara mengalunkan ayat
suci dengan perasaan bercampur baur.Sah, peluang aku semakin mengecil.
“Tadi awak kata, awak hafal sampai ayat
65, tetapi kenapa dah berhenti pada ayat 63? Awak cuba berbohong dengan saya?
Awak fikir orang yang berbohong layak ke menjadi hamalatul Quran?Sedangkan
berbohong itu salah satu ciri munafik” Ustaz cuba memprovok.
Allahuakbar.Kata-kata itu sungguh
tajam,bisanya merobek hampir seluruh isi jantung aku. Aku hanya mampu
mendiamkan diri,menahan tangis.Kepalaku digeleng perlahan,sebagai jawapan
kepada soalan ustaz tersebut.Harapan tinggal harapan , impian menunggu saat
dikuburkan.Aku melangkah meninggalkan pusat temuduga dengan hati yang pasrah.
Redha pada ketentuan yang bernama Qada’ dan Qadar. Mungkin rezeki aku di tempat
lain,hati cuba memujuk.
Setibanya di sekolah,rakan-rakan menerpa,
mengerumuni aku membentuk satu bulatan. Semua begitu teruja meminta aku
berkongsi pengalaman ditemuduga. Maklumlah, bukan semua yang mengisi permohonan
dipanggil ke temuduga.Dalam berpuluh-puluh yang mengisi borang,hanya dua puluh
yang dipanggil.Khabarnya,pemilihan kali ini lebih strict berbanding tahun-tahun sebelum ini. Aku hanya mampu mengukir secangkir senyuman dan melakar ucapan alhamdulillah – cuba
melindungi isi hati yang berbadai. “Doakan yang terbaik untuk saya dan semua”
Aku
mengatur langkah meninggalkan mereka ke binaan biru berkubah hitam. Derap
langkah terasa lemah tidak bermaya. Pili air diputar,wudhuk diambil.Basuhan
wudhuk menenangkan serba sedikit hati aku yang dirudung kekecewaan. Lantas
badan direbah mencium bumi,bersujud pada Yang Berkuasa - Mengadu dan merintih segalanya.
“Tuhan,
sesungguhnya engkau mengetahui hasrat hati ini untuk menjadi penjunjung
kalam-Mu.
Aku
ingin menjadi pendamba cinta dan redha– Mu yang saban hari sentiasa dekat
dengan – Mu.
Hamba
yang lidahnya basah dengan ayat-ayat cinta-Mu.
Hatinya
penuh dengan mukjizat nabi terakhir.
Tuhan,
Aku
ingin menjadi anak yang mampu membantu ibu bapa dan ahli keluarga di Sana
kelak.
Anak
yang menjadi qurratun ain,pemakai mahkota kepada walidain.
Aku
ingin melunas jasa arwah abah yang belum sempat ku balas, dengan harapan setiap
kalimah yang dilantun akan menenangkan beliau di liang itu.
Aku
ingin membalas kesusahan dan tetes peluh ummi membesarkan aku dengan pahala, setiap
kali melafaz satu huruf dari kitab itu.
Tuhan,
Apakah
benar kata ustaz itu?apakah benar aku tidak layak menjadi hamalah kalam-Mu?”
Dan
malam itu, Musolla Al-Muqorrobin menjadi saksi, syahadat Sang Hamba bermunajat
pada Pemiliknya dengan linangan air mata.
Sebulan
yang mencabar telah berlalu.Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia telah
melabuhkan tirainya.Semua pelajar tingkatan lima mengukir senyuman
lebar,gembira telah berjaya menamatkan zaman persekolahan dan bakal melangkah
ke alam yang lebih mencabar.Beg dan bagasi telah siap dikemas,aku
bermalas-malasan di katil sementara menunggu Kak Yah datang menjemput jam tiga
nanti.
“Busyra,nanti
bila awak dan saya ditawarkan ke Darul Quran,kita duduk sebilik jom. Boleh awak
ajar saya jadi solehah macam awak”
Afiqah,teman
yang sama-sama berjuang di medan temuduga tempoh hari menegurku. Aku dan Afiqah
tidak pernah berkenalan secara rapat sehingga kami sama-sama dipanggil ke
temuduga, sama-sama membuat persediaan untuk ditemuduga, sama-sama berjanji
untuk meneruskan perjuangan ke Darul Quran.Orangnya agak brutal namun sangat bertanggungjawab. Mungkin faktor adik
beradiknya semua lelaki kecuali dia.
“Er
saya tak rasa saya berjaya mendapat tawaran ke sana tetapi jangan risau,saya
yakin walau awak tidak sebilik dengan saya, awak tetap solehah” ujarku dengan
senyuman.
Ya,aku
tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi, membina angan-angan melangit kerana
bimbang kalau jatuh,aku yang sakit sendiri.Dan aku tidak akan pernah melupakan
hasrat untuk menjadi hafizah walau rezeki aku tiada di Darul Quran.
*****
Puan Hajjah Zawanah, Pengarah Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,
(JAKIM) sedang berucap di atas pentas.Aku hanya memasang telinga sambil
sesekali mataku mengerling pada pentas yang berhias indah. Wanita ini mempunyai
gaya dan karisma yang tersendiri,desis hatiku. Majlis bacaan ikrar dan
penyerahan pelajar kepada pihak Darul
Quran berlansung dengan harmoni. Di bahagian kanan dewan, kerusi-kerusi
dipenuhi pelajar lelaki yang berbaju putih berseluar hitam dan pelajar
perempuan berjubah hitam bertudung putih. Aku salah seorang daripada mereka.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian
daripada Dato’ Haji Razali, Timbalan Pengarah JAKIM. Butir bicara beliau
bergema memenuhi dewan,namun fikiran aku terbang bersama lantunan suara itu.
Hati ini masih tiada bersama jasad.
“Busyra
nak tahu kenapa Busyra terlalu sedih? Sebab niat Busyra untuk masuk Darul Quran
itu salah.Busyra meletakkan kalau nak jadi hafizah,kena masuk Darul Quran.
Benar, ummi tidak menafikan Darul Quran platform
yang terbaik, tetapi Darul Quran bukan satu-satunya platform yang kita ada,kan sayang? Teruskan dengan niat murnimu itu
anakku”
Nasihat
ummi tempoh hari sewaktu aku mengadu pada beliau akan hati aku yang merinding kecewa dengan
temuduga aku yang bersifat gagal itu, ku simpan kemas dalam kotak ingatan.
Busyra berjanji akan teruskan niat ini, kerana Dia.
Amplitud
gelombang suara tuan perasmi yang tinggi memanggil hati kembali ke jasad.Aku
mula memberi fokus tentang apa yang diperkatakan oleh tuan perasmi yang begitu
bersemangat.Antara butir bicaranya,beliau mengkhabarkan rekod paling cepat
pelajar menghafal tiga puluh juzuk adalah selama enam bulan dan beliau mencabar
kami pelajar baharu untuk membuat rekod yang baru. Aku terpempan.Mustahil tiga
puluh juzuk dihabiskan dalam tempoh enam bulan, bererti pelajar itu mengambil
masa sebulan untuk menghafal lima juzuk dan seminggu untuk satu juzuk setengah.
Angka memenuhi fikiran,aku berkira-kira sendiri.
Usai
bacaan ikrar dilantunkan dengan penuh semangat, majlis bergerak ke acara
kemuncak – acara penyerahan anak-anak oleh ibu bapa kepada pihak Darul
Quran.Semua pelajar beratur,berjalan beriringan bersama ibu atau bapa
masing-masing menaiki pentas. Ada yang beriak gembira, ada yang biasa – tidak
dapat diteka, tak kurang juga yang mempamerkan riak semangat, yang pasti semuanya
membawa satu aura yang sama – aura takut dan resah. Mungkin penangan lafaz
ikrar sebentar tadi, membuatkan hati tidak keruan memikirkan amanah dan harapan
yang bakal digalas.Aku menanti ummi dengan senyuman yang dibuat-buat sambil
menahan gentar – aku juga membawa aura yang sama seperti yang lain.
“Busyra,
ummi rasa tidak mustahil untuk Busyra habiskan tiga puluh juzuk dalam tempoh
enam bulan sebab sudah ada yang memustahilkannya”
Er
aku cuba menghadam ayat ummi , “ Maksud ummi?”
“Maksudnya,
ummi bagi masa enam bulan untuk Busyra
habiskan tiga puluh juzuk di sini. Waktu yang selebihnya boleh digunakan untuk
mengulang. Sesungguhnya nikmat menghafal itu ada pada mengulang.”
Mataku
dihala ke arah ummi,menatap wajah beliau tanpa berkerdip.
“Ummi, Busyra takut kalau Busyra tergesa-gesa
untuk habiskan tiga puluh juzuk cepat-cepat, nanti Busyra akan susah untuk
mengulang” ujarku berhati-hati,bimbang
kata-kataku bisa mengguris hati beliau yang sangat berharga itu.
“Okay,
kalau begitu ummi tambah jadi sembilan bulan. Fokus betul-betul, gunakan
peluang yang dikurniakan,ummi yakin Busyra boleh!”
“In
shaa Allah ummi.Doakan Busyra ye ummi”
Aku
memandang pada tampang ummi, terserlah sinar harapan yang menggunung.Serentak
angin gusar menyerbu.Namun aku bersyukur dengan inisiatif yang diambil oleh
ummi.Benar,gunakan peluang yang telah dikurniakan, manfaatkan ruang yang
disediakan. Ayuh Busyra, anda mampu mengubahnya. Gumamku sendirian, menaikkan
bara hamasah yang hampir padam.
“Busyra!”
Kereta
yang hampir bergerak berhenti kembali, cermin tingkap diturunkan, tersembul
wajah ummi tersayang. Lantas air mata perpisahan diseka pantas,risau dikesan
ummi.
“Busyra
masuk Darul Quran tak boleh kahwin lagi tahu” laung ummi.
Aku
tergelak mendengarkan nasihat ummi. Ah ummi memang pandai menghilangkan gundah
anaknya.Tahu-tahu sahaja aku sedang bersedih dengan perpisahan bersifat
sementara ini.
“Tidak
mengapa ummi. Busyra di sini setahun setengah sahaja” selorohku sambil
mengenyit mata.
Tawa
kami pecah.
Aku menghantar kepulangan ummi dan Kak Yah dengan
sebuah tekad. Mutiara jernih itu diseka. Haish, cengeng.
Bersambung...
Comments
Post a Comment