Skip to main content

RAMADHAN, SUDAHKAH AKU MENGHARGAINYA?


Koh koh! Dua kali batuk itu menghentikan hirupan sup yang enak.
"Pediihh", jerit Awfa.
"Arghh..panaass"
"Air air.. tapi pediih"
"Panas...panas..fuh fuh"

Tangannya laju mengipas-ngipaskan anak tekak. Entah berapa kali, mulut tak berhenti menjerit kalimah itu. Tekak terasa panas menggelupur, namun tidak tahu cara untuk meredakannya. Semua wajah yang memandangnya kaget dengan reaksi Awfa.

Bila diberi air, Awfa kepedihan. Bila diberi buah, Awfa sukar untuk menelan.
“Abang letak apa dalam sup ni? Cili ke?”, ummi jadi serba salah kerana tidak mampu membantu.

“Bawang… Cili.. Minyak.. ahh pedihh”, Awfa cuba menerangkan tetapi dia juga gagal mengenal pasti punca sakitnya.

"Sabar Awfa...sabar", pesan ummi.

Hanya itulah kalimah yang akhirnya membuat jiwanya sedikit reda. Dia telan air bersama titisan air mata yang mengalir. Dia telan air liur sekerap mungkin demi mengurangkan derita sang anak tekak ketika waktu sahur berbaki beberapa minit lagi.

Ummi menuangkan air syifa bersama sedikit cuka yang telah dibacakan doa untuk membuang bisa yang dia rasai. Sakit itu semakin berkurang tetapi selera terhadap makanan juga berkurang. Dia hanya meminum air kosong, kemudian berniat puasa. Itulah hari pertama tekaknya sakit pada Bulan Ramadhan ini, disusuli dengan sakit lidah kerana ‘cik ulser’ dan sakit gigi yang tidak menentu denyutannya.
.
__
Hari-hari yang dilalui selepas itu tidak jauh beza. Berbuka dengan air kosong atau apa-apa makanan berunsur air seperti bubur. Makanan yang perlu dikunyah seperti kurma, nasi, kuih-muih, ayam goreng, telur goreng, keropok-keropok dan seumpamanya seperti diharamkan untuk diri Awfa. Lidah akan terasa dihiris-hiris sembilu apabila makanan itu berlaga-laga dengannya. Air mata yang mengalir memberi isyarat 'Cukup! Lidah ini menderita!' Maka, akhirnya makanan itu akan diberikan saja kepada sesiapa yang ingin menghabiskannya.

Tidak dinafikan, kadang-kadang hati Awfa terasa ingin mencicipi sedikit makanan yang amat menggoda hidung yang menghidu dan mata yang melihat. Ye, sedikiit saja. Pasti boleh, kan? Terbayang-bayang keenakan makanan itu dalam memori lama dengan harapan hilanglah derita yang sedang dirasai. Namun begitu, apabila lidah terpaksa mengharungi tragedi hirisan yang amat hebat, sehingga membuatkan kelopak mata Awfa mudah saja banjir dengan air bahnya, dia lebih rela untuk tidak meneruskan makan.

'Ya Tuhan, alhamdulillah aku masih boleh minum air kosong. Alhamdulillah juga ramai yang memberi sedekah bubur lambuk setiap hari. Bolehlah aku makan. Sesukar manapun perjuanganku untuk makan dan minum, ada lagi insan yang tiada makanan untuk bersahur dan berbuka. Mereka juga menahan lapar dari waktu Subuh hinggalah waktu Maghrib. Ampunilah dosa-dosaku ya Allah', Awfa memujuk hatinya.
___
Pernah suatu hari, dia bingung. Apabila kepala sudah dipenuhi angin, perut tidak terlalu lapar dan lidah masih tidak sudi menerima apa-apa makanan, apa yang boleh  diisi? Hari itu, bubur tak sempat ambil di masjid dan oat di rumah juga sudah habis. Sungguh, Awfa tidak mahu menzalimi tubuhnya. Perutnya ada hak untuk menerima makanan sebagai tenaga. Jika diikutkan selera, memang sudah berkurang. Tak makan apa-apa lebih dia suka. Namun, dia tidak mahu menjadi manusia yang berputus asa.

Awfa memanjat almari dapurnya sambil mencari apa yang boleh dia masak. Akhirnya, terjumpalah sebungkus mee kering. Ketika memegang bungkusan mee itu, dia berbisik
'Ya Allah, bolehkah aku makan ni? Mampukah aku untuk bersabar dengan hirisan yang menyakitkan? Tapi..aku kena makan. Kepalaku sudah pening. Mudah-mudahan Allah memberiku kekuatan'

Maka, terpaksalah Awfa merebus mee itu agar tidak memudharatkan diri sendiri. Dia memastikan mee itu benar-benar kembang dan membuat sedikit sup yang memudahkannya untuk mengunyah dan menelan.

'Aku perlu bertahan sebentaar aja ketika makan supaya perut tak masuk angin. Kalau dah masuk angin, mungkin hari-hari yang seterusnya lebih parah dari hari-hari sebelumnya. Sabar ye. Sabar'
__
Dalam kesunyian suasana rumah, Awfa merenung nasib dirinya. Sudah 3 hari Awfa tidak pergi masjid dan berjumpa orang ramai. Sudah 3 hari, Awfa solat Isyak dan terawih sendirian tanpa imam. Sudah 3 hari Awfa tidak makan seperti hari-hari biasa kecuali yang berunsurkan air. Jujurnya, Awfa rindu suasana itu. Suasana di mana dia dapat bertemu saudara Islam yang seakidah, berlaga-laga pipi bersalaman, bertegur sapa, mengucapkan salam dan berbuka puasa beramai-ramai. Ujian yang Allah datangkan melalui ‘cik ulser’ menyebabkan tinggal di rumah itu lebih baik untuk Awfa. Bukan setakat susah nak mencari makanan yang boleh dimakan di luar sana, malah percakapan Awfa juga sukar difahami.

“Ayah, nak nombor chukai penggapakan” (Ayah, nak nombor cukai pendapatan)
“Apa, ayah dah makan?”, tanya ayah tanpa memahami permintaannya yang sebenar.
.
“Agik, nak pergi sholak keraweh ke ku? (Adik, nak pergi solat terawih ke tu?)
“Aah nak pergi keraweh”, jawabnya sambil tertawa. Semua orang pun ikut tertawa.
.
“Okay, shaya nak kigo dulu” (okay, saya nak tidur dulu)
“Okay..kigolah..haih, kelakar betulla Awfa ni..”, jawab abangnya sambil mengajuk dan tertawa. Awfa juga tertawa kerana melihat kepelatan lidahnya dilakonkan orang lain.
.
‘Adalah baik juga sakit ni.. boleh buat orang ketawa. Orang tengah stress baru nak celik mata dari bangun tidur pun boleh ketawa. Haha, kelakar. Dan yang paling bestnya, perkara penting je aku akan cakap. Tak sanggup nak berbelit lidah hanya cakap benda sia-sia. Alhamdulillah.’, monolog Awfa sebelum tidur sambil tersenyum-senyum.
____
Mengharungi hari-hari seterusnya, Awfa mencuba pelbagai cara untuk mengecilkan ‘cik ulser dan kering di tekaknya. Seboleh-bolehnya dia ingin sembuh secepat mungkin. Hal ini kerana, bukan sahaja makan minumnya tidak seperti biasa, percakapannya disalah faham dan diketawakan, malah ibadahnya juga terganggu. Paling hiba adalah apabila dia solat dan membaca Al-Quran. Huruf-huruf yang berkaitan hujung lidah tidak dapat disebut dengan betul, semua hanya terhenti di lelangit. Huruf ta, huruf dal, huruf lam dan banyak lagi huruf yang jika disebut, maka terhiris-hirislah lidah apabila terlanggar gigi sehingga menyebabkan air liur keluar dengan banyak sekali.

Jiwanya menangis, 
‘Aku ingin mengaji seperti dulu ya Allah..melagukan dan menghayati keindahan bahasa Al-Quran. Saat ini, Allah tarik sebentar nikmat boleh membaca Al-Quran. Nak sebut bismillah pun, bunyinya jadi lain..’
‘Dulu, ummi pernah cerita. Ada seorang lelaki yang terputus satu urat di kepalanya dan Allah izin dia bisu sejak dari itu. Dia tetap membaca Al-Quran kerana cintanya kepada Al-Quran dan yakin bahawa Al-Quran itu sifatnya syifaa’ (penyembuh). Dia istiqamah membacanya walaupun tanpa suara selama 8 tahun. Tak lama selepas tu Allah izin dia boleh bercakap.. ya ALLAH seronoknyaa. Aku tetap akan membacanya. Aku nak khatam Al-Quran. Ini bulan Ramadhan, bulan turunnya Al-Quran!’, menangislah Awfa tesedu-sedan di hadapan Al-Qurannya.
Antara yang Awfa lakukan untuk merawat dirinya ialah meletakkan  oral aid sehingga kebas lidah dan bibir, minum air banyak-banyak, kumur-kumur air garam, minum air kelapa, minum air asam jawa, kemam madu setiap pagi dan yang paling best adalah letak garam atas ‘cik ulser’. Memandangkan ‘cik ulser’nya ketika itu sudah separuh kuku manusia saiznya, sebaik sahaja garam ditabur di atasnya, gigi geraham atas dan bawah terasa seperti ingin tercabut, kepalanya pusing, urat tengkuk dan kepalanya tegang dan pastinya air mata mengalir laju di atas pipi. Allahu akbar.

Setelah seminggu Awfa bertarung dengan sakitnya, dan kehausan serta kekeringan yang melibatkan saluran pernafasannya tidak berkurang, ditambah dengan tekak yang sakit untuk menelan makanan, Awfa teringat buah zaqqum yang diceritakan oleh Allah dalam Surah Al-Waqiah, Surah Ash-Shaffat dan Surah Al-Muzammil.

Dahsyatnya Zaqqum.. belum pun sempat disentuh, bibir penghuni neraka akan terbakar sehingga menampakkan gigi-gigi mereka. Tidak hanya itu, mereka akan menelan duri yang akan mengoyakkan kerongkong ketika buah itu ditelan dan sebelum buah itu sampai ke perut, buah itu akan membakar dan mengeluarkan segala isi perut. Walaupun begitu, penghuni neraka tetap akan memakannya dengan lahap, sehingga perut mereka menggelembung tetapi tidak juga berasa kenyang. Mereka memang tidak mempunyai pilihan lain, tidak ada makanan yang boleh dijadikan sebagai pengganti.

Firman Allah سبحانه وتعالى :
(ثُمَّ إِنَّكُمْ أَيُّهَا الضَّالُّونَ الْمُكَذِّبُونَ * لَآكِلُونَ مِنْ شَجَرٍ مِنْ زَقُّومٍ * فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ * فَشَارِبُونَ عَلَيْهِ مِنَ الْحَمِيمِ * فَشَارِبُونَ شُرْبَ الْهِيمِ * هَٰذَا نُزُلُهُمْ يَوْمَ الدِّينِ)
"Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum. Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu. Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak. Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas. Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu. [Surat Al-Waqi'ah 51 - 56]

Firman Allah سبحانه وتعالى :
فَإِنَّهُمْ لَآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِؤُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ
“Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebahagian dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk) sehingga mereka memenuhi perut dengan buah Zaqqum itu.”  (Surah Ash-Shaffat; Ayat 66)
.
Padahal, sebelum masuk ke perut makanan itu tersangkut dan menusuk-nusuk di kerongkong. Tidak mungkin untuk dikeluarkan semula, sungguh tidak terkira deritanya.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى lagi :
وَطَعَاماً ذَا غُصَّةٍ وَعَذَاباً أَلِيماً
“Dan makanan yang menyumbat di kerongkong dengan azab yang pedih.” (Surah Al-Muzammil; Ayat 13)
.
Mereka akan makan dan terus makan seperti tidak pernah puas. Walaupun buah Zaqqum itu membakar dan menggelodak dalam perut bagaikan minyak menggoreng, kepanasannya tak dapat dibayangkan. Malah, di dalam tafsir juga ada menyebut bahawa buah zaqqum ini, hanyalah hidangan keraian untuk penghuni neraka. La hawla wa la quwwata illa billah..

‘Ampunilah Awfa ya Rahman ya Rahiim..Hapuskanlah dosa-dosa Awfa.. Pastinya luka tekak mereka dan hausnya mereka lebih dahsyat daripada apa yang Awfa rasa saat ini..Astaghfirullah.. Ya ALLAH, ketika Ramadhan berbaki beberapa hari lagi, Engkau lepaskanlah Awfa dari azab api neraka, lepaskanlah ummi ayah dan semua orang yang Awfa sayang dari azab api neraka.. Awfa tak sanggup nak hadapi azab itu dan Awfa tak sanggup melihat orang-orang yang Awfa sayang diazab seperti itu.. ya ALLAH, kabulkanlah..’, akhirnya Awfa menangis teresak-esak mengenang dosa-dosanya. Terasa kecil ujian yang Allah beri apabila dibandingkan azab neraka yang dijanjikan itu.
Dia juga teringat semua umat Islam yang sedang kehausan dan kelaparan di Palestin, Syria dan negara-negara yang sedang berperang. Terbayang-bayang wajah mereka yang tetap bersabar dan bersangka baik dengan Allah mengharungi dugaan yang amat dahsyat. Betapa besarnya pahala mereka, betapa tabahnya jiwa-jiwa mereka!

‘Alhamdulillah Engkau kurniakan ujian ini di bulan Ramadhan ya ALLAH. Sekurang-kurangnya, dapatlah aku merasai gerunnya azab api nerakaMu dan memohon perlindungan darinya. Engkau baru pinjamkan derita selama seminggu ke atasku, sudahku rasa tidak mampu.. bagaimana dengan umat Islam yang sudah berperang bertahun-tahun ya ALLAH..’
-Tamat-

Kisah ini adalah kisah benar yang dilalui oleh seorang hamba ALLAH. Nama yang digunakan adalah nama samaran. Semoga kita sama-sama mengambil iktibar dan menyemak kembali hati-hati kita. Sejauh mana, hari-hari dalam Ramadhan yang kita lalui mendekatkan kita kepada SIFAT TAQWA kepada ALLAH. Sepatutnya, kita bersyukur kepadaNya kerana sehingga ke saat ini Allah masih kurniakan Ramadhan buat kita yang terkandung di dalamnya rahmat, maghfirah dan pelepasan daripada azab api neraka. Hargailah nikmat nyawa dan kesihatan yang Allah pinjamkan. Amatlah rugi jika kita keluar dari Ramadhan tanpa memperoleh satupun dari kelebihan-kelebihan yang Allah janjikan.


Ramadhan, sudahkah aku menghargainya?


N.H

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Belajar di Darul Quran JAKIM (Bhg. 1)

Bismillah. Tujuan saya tulis ini adalah supaya bakal pelajar DQ atau sesiapa yang minat nak tahu, bagaimana keadaan belajar di DQ. *dulu saya yang stress sebelum nak masuk DQ, sebab tak jumpa catatan bekas pelajar DQ untuk rujukan. Saya merupakan  bekas pelajar Persijilan Tahfiz DQ-UIA 2014/15 dan kini menyambung pelajaran di UIA. Batch saya ialah batch ke-15 yang menyertai program ini. RINGKAS MENGENAI PROGRAM Program Persijilan Tahfiz DQ-UIA ini ialah program kolaborasi antara Darul Quran JAKIM dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Para pelajar akan memperuntukkan masa selama 18 bulan atau setahun setengah untuk menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran. Kemudian, pelajar tersebut boleh melanjutkan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejurus tamat pengajian di DQ. PERMOHONAN Untuk permohonan, pelajar perlu rujuk laman sesawang DQ untuk tahu mengenai syarat kelayakan, tarikh buka permohonan dan sebagainya. Secara umumnya, untuk program Persijilan, keputu...

Layakkah aku digelar HAFIZAH ALQURAN?

Orang kata : Indah khabar dari rupa.. Tapi Masjid ini, indah segala-galanya ..19 JANUARI 2015.. Suatu ketika dahulu, tarikh itu amat bersejarah buat diri ini. Alhamdulillah 'ala kulli haal. Pada tarikh itu... Aku berjaya tamat tasmik hafazan 30 Juzuk Al-Quran buat kali pertama. Walaupun dua kali tarikh target terlepas, rupa-rupanya Allah nak izinkan jatuh pada tarikh ini, tarikh yang sama dengan tarikh kelahiranku.. Beberapa bulan selepas itu (menghampiri setahun), Allah mengizinkan aku ingin singgah di masjid Darul Quran, kebetulan pula ada rehearsel majlis khatam Al-Quran untuk meraikan pelajar-pelajar yang berjaya habis tasmik hafazan 30 Juzuk Al-Quran. Suasana yang amat tenang dan syahdu. Satu persatu surah pendek dari Juz 30 diselesaikan bacaannya.. akhirnya menitis air mata jernih di pipiku.. Sebak, terharu, gembira dan syahdu, segalanya bersatu. Entah bagaimana lagi seharusnya aku bersyukur kepada Allah. Walaupun aku rasa terlalu mustahil buat diri ini mengkhatam...

Pengalaman Belajar di Darul Quran JAKIM (Bhg.2)

​   KEHIDUPAN BERPERSATUAN Pelajar Persijilan Tahfiz DQ-UIAM mempunyai persatuannya sendiri yang diberi nama Intellectual Quranic Generation Club (I.Q.R.a.C). Sebutannya bukan "Iqra'" tapi ai-qiu-rek. Haha k.  Ada pelbagai biro di bawah IQRaC seperti persatuan lain seperti; Biro Akademik, Tugas-Tugas Khas, Tarbiah & Kerohanian, Ekonomi, Perhubungan Luar, Penerbitan & Informasi dsb.  Boleh dikatakan sangat aktif dalam menganjurkan program-program untuk pembangunan diri ahlinya. Antaranya: - SYABAB- Orientasi untuk pelajar-pelajar baru. Lebih kepada cabaran untuk fizikal, mental dan rohani. - INTROFAZ- Pengenalan untuk pelajar baru kepada dunia huffaz (cara hafazan dsb). Lebih berbentuk akademik.  - OBIQ- Program pengenalan usrah dan macam ice-breaking untuk ahli-ahli usrah.  - INSIDE- Karnival mengenai multimedia dan dakwah.  - SUKRAC- Sukan untuk ahli IQRaC.  - NEWA- Program rekreasi (explorace dsb) untuk pemant...