Skip to main content

7 Projek Kecil di Rumah semasa Cuti Semester



Salam semua! Cuti semester bakal tamat tidak lama lagi. Pelajar-pelajar universiti akan kembali ke kampus masing-masing. Harapnya kita pulang dengan berbekalkan jiwa yang tenang & fikiran yang lapang untuk menghadapi cabaran baru.

Bagaimanakah cuti anda kali ini? Bermanfaat dan padat? Atau lesu dengan hanya menambah lemak di badan?

Inilah kali pertama saya bercuti 2 bulan lebih sepenuhnya di rumah. Saya tidak berpeluang untuk merantau ke negeri lain kali ini, mahupun ke Selangor, satu daripada kampung halaman saya sendiri. Perasaan bercuti selama 2 bulan lebih ini di rumah? Wah bercampur baur, sejujurnya.

Biasanya saya akan berasa lemas apabila terperuk di rumah walaupun baru seminggu. Sehinggalah satu hari semasa cuti semester lepas, saya lepaskan keluhan kepada ibu;

"Ibu, boring la duk rumah je"
"Are you saying that you are bored spending time with the most important people in your life?"

Jawapan ibu membuatkan saya terdiam, tidak lagi mengeluh untuk cuti semester kali ini dan cuba untuk menghargai masa sepenuhnya di rumah. Dan apa yang saya dapat kali ini? Bercuti selama 2 bulan di rumah tidak lah seteruk mana, jika kita pandai mencari idea, teroka perkara baru dan menikmati proses itu.

Jadi, cuti kali ini, saya berjaya mencari aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di rumah. Mungkin boleh juga dilakukan oleh rakan-rakan yang juga sukar untuk mendapatkan teman  & keizinan untuk merantau jauh di samping terikat dengan komitmen lain di rumah. Nah:

1. Kompilasi resepi keluarga

Credits to its owner
 - Inilah masanya untuk kita mengumpul segala resepi warisan keluarga daripada nenek moyang dan ibu bapa sendiri. Ha jangan ingat senang pula! Sebab biasanya kaum nenek dan ibu main 'campak-campak' dan 'agak-agak'. Jadi, jika anda mahu mendapatkan ukuran yang tepat supaya masakan menjadi persis air tangan mereka, maka anda perlu mengadakan sesi cubaan memasak dulu dengan merekodkan ukuran yang tepat sepanjang proses.

Tetapi kalau anda kekurangan masa, maka memadailah  jika hanya mencatat bahan, ukuran anggaran & langkah-langkah untuk memasak. Namun, anda berdepan risiko masakan yang terhasil berbeza sedikit dengan masakan asal. Kemudian, anda boleh simpan kompilasi resepi tersebut dalam Google Drive dan kongsikan bersama ahli keluarga yang lain.

2. Photobook Kenangan
- Kalau anda belum tahu apa itu photobook, photobook ini umpama album gambar tapi dalam bentuk buku yang dicetak. Antara laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan mencetak photobook di Malaysia ialah:

 > Photobook Malaysia: http://www.photobook.com.my/


Saya pernah menggunakan Photobook Malaysia. Anda perlu membuka akaun, kemudian pilih saiz photobook yang dikehendaki. Ada pelbagai saiz yang boleh dipilih dan juga jenis kulit depan (sama ada lembut atau keras), bilangan mukasurat dsb. Kemudian, anda boleh pilih untuk memasukkan gambar-gambar dan hiasan dalam template photobook secara offline atau online. Kalau offline, anda perlu memuat turun perisian Photobook Designer langsung dari laman webnya juga. Photobook Malaysia memberikan pelbagai pilihan template yang boleh dipilih atau anda boleh membuat photobook anda dari template kosong (blank template). Bayaran perlu dibuat secara online dan photobook akan dihantar terus ke rumah anda  apabila sudah siap dicetak. Anda juga digalakkan untuk sentiasa peka dengan emel-emel promosi daripada Photobook Malaysia supaya anda berpeluang dapat harga yang lebih murah.

3. Asah kemahiran bahasa (membaca, menulis, mendengar)

- Jika anda menghadapi kesukaran untuk belajar di kampus kerana halangan bahasa, cuti panjang ialah masa paling sesuai untuk mengasah kemahiran bahasa anda. Banyak bahan dan tips yang boleh anda pelajari dari Internet. Banyakkan membaca buku dalam bahasa yang anda ingin kuasai, cuba untuk menulis dan mendengar rakaman video atau podcast dalam bahasa tersebut.

Berkenaan proses mempelajari bahasa secara mendengar.  saya ingin mengesyorkan aplikasi Podcasts bagi pengguna Iphone. Bila anda 'subscribe' ke mana-mana saluran, Podcasts akan memuat turun rakaman audio atau podcasts dari saluran itu secara automatik ke telefon pintar anda (lebih baik guna WIFI ketika proses muat turun). Jadi, bila anda tiada Internet, anda masih boleh mendengar podcasts.
Saya sendiri gemar mendengar kuliah-kuliah keagamaan dalam bahasa Inggeris dari aplikasi Podcasts yang sedia ada dalam Iphone. Antara saluran atau 'channel' yang saya boleh syorkan  ialah Nouman Ali Khan. ‘Podcasts yang ada di saluran beliau  ialah  video-videonya di Youtube yang ditukarkan ke dalam bentuk audio dan dimuat naik secara konsisten ke Podcasts. Jadi, dengan mendengar kuliah menerusi Podcasts nyawa bateri telefon pintar anda dapat dijimatkan berbanding dengan menonton videonya yang sama di Youtube. Banyak lagi rakaman kuliah bahasa Inggeris yang menarik. Hanya taip kata kunci Muslim Central dan banyak cadangan saluran berguna untuk anda. Antaranya, Yasmin Mogahed, Mufti Menk, Ibrahim Yahya, Yasir Qadhi, Saad Taslem dan ramai lagi. Sambil menadah ilmu baru, anda juga dapat menambah kosa kata dan menangkap pelbagai gaya bertutur dalam bahasa Inggeris.


Selain itu, ada juga saluran khusus untuk belajar bahasa seperti Learning Arabic: ArabicPod101.com. Banyak video kosa kata yang dimuat naik menurut kategori seperti haiwan, peralatan elektrik dan frasa yang biasa digunakan ketika berkomunikasi. Banyak lagi pilihan bahasa lain, antaranya Mandarin, Jepun, Perancis dan apa jua bahasa yang anda inginkan.

4. Al-Quran & Aku

- Untuk para huffaz al-Quran, waktu cuti patut dimanfaatkan untuk mengulang hafazan sebanyak-banyaknya. Sasaran perlu diletakkan lebih tinggi dari hari-hari sibuk di kampus. Namun begitu, hubungan kita dengan al-Quran perlu dinaikkan ke tahap yang seterusnya; bukan sekadar menghafaz dan mengulang tapi memahami. 

Anda boleh letakkan sasaran khusus. Contohnya: "Untuk cuti kali ini, aku nak cuba belajar tafsir surah ar-Rahman." Jadi, untuk cuti tersebut, anda fokus terhadap usaha mencari bahan-bahan rujukan tentang surah ar-Rahman sahaja. Bahan tersebut boleh terdiri daripada buku umum (seperti buku terbitan Telaga Biru contohnya), kitab tafsir yang mudah untuk anda fahami (contoh: Tafsir al-Azhar oleh HAMKA, Tafsir al-Munir dsb) atau dengar ceramah daripada guru yang anda yakini di Youtube. Sememangnya cara-cara ini tidak akan menyamai dengan belajar tafsir bersama guru secara talaqqi dan musyafahah. Jika anda berpeluang untuk belajar dengan berguru secara langsung, itulah yang terbaik.  Namun, kita perlu sekurang-kurangnya cuba untuk memahami al-Quran menurut kemampuan dan sumber yang kita ada.


 
5. Cabaran Buku


– Tiada lagi keluhan 'tiada masa untuk membaca' , kerana waktu cutilah merupakan waktu paling lapang untuk kita membaca dengan bersungguh-sungguh. Jika anda rasa perlukan motivasi untuk membaca dengan serius, saya cadangkan anda membuat akaun Goodreads dan memuat turun aplikasinya ke dalam telefon pintar anda. 

Goodreads membolehkan kita membina jaringan dengan pembaca-pembaca tegar dengan menambah mereka sebagai kawan dalam Goodreads. Saya amat terkesan apabila melihat ramai pengguna Goodreads lain yang telah pun membaca ribuan buku dengan melihat kepada rak-rak buku 'virtual' mereka. Terasa betapa perlahannya saya membaca berbanding mereka. Selain itu, anda boleh mengikuti perkembangan penulis-penulis yang diminati dan meneroka lebih banyak buku dari seluruh dunia. Anda boleh 'update status', buat review buku, letak rating buku dan menetapkan sasaran cabaran buku anda setiap tahun. Cubalah. Saya pun belum habis jelajah Goodreads sepenuhnya. (https://www.goodreads.com/)

6. Marathon Video Bermanfaat di Youtube

- Jika anda berusaha mencari topik-topik yang bermanfaat, pelbagai ilmu dan inspirasi baru  anda boleh peroleh dari Youtube. Saya kongsikan beberapa saluran yang saya rasakan berguna secara umum untuk semua: 


Selain itu, pastinya anda mempunyai minat-minat terpendam yang belum anda terokai. Cuba masukkan kata kunci berkaitan minat-minat anda dan belajar benda baru. Sebagai contoh :

> Kraf Do-It-Yourself  (DIY) – sangat banyak , menarik untuk dilakukan bersama adik-adik kecil seperti rumah anak patung, rumah kucing, peralatan masak-masak.

> Hacks – cara-cara kreatif untuk menggunakan barang harian (https://www.youtube.com/playlist?list=PLEgIHAoVZKeJ9B9gOIz8QPwmeX5LUywcB)

> Seni Lukisan, Catan

> Photoshop

7. Latihan Penulisan

- Jika anda minat bidang penulisan seperti saya, luangkan masa cuti untuk menimba tips penulisan yang baru di Youtube. Antaranya ‘playlist’ menarik yang saya jumpa: 


Selain itu, susun segala catatan idea dan inspirasi penulisan yang mungkin anda telah catatkan semasa semester lepas dengan kemas. Kembangkan catatan-catatan tersebut menjadi suatu karya atau artikel yang mantap ideanya dan bebas kesalahan tatabahasa serta ejaan. Cuba cari peluang untuk anda hantar karya-karya penulisan ke pertandingan penulisan, ruang akhbar, blog dan laman web yang sesuai supaya anda dapat lebih ke hadapan dalam bidang penulisan.. #Saya juga masih mencari. #Doakan saya juga.

Itulah 7 Projek Kecil yang boleh anda lakukan di rumah semasa cuti semester. Semoga bermanfaat dan selamat mencuba! Moga kehidupan anda menjadi lebih produktif :)

Auni B
11.15 pm
22 Ogos 2017
Terengganu.

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Belajar di Darul Quran JAKIM (Bhg. 1)

Bismillah. Tujuan saya tulis ini adalah supaya bakal pelajar DQ atau sesiapa yang minat nak tahu, bagaimana keadaan belajar di DQ. *dulu saya yang stress sebelum nak masuk DQ, sebab tak jumpa catatan bekas pelajar DQ untuk rujukan. Saya merupakan  bekas pelajar Persijilan Tahfiz DQ-UIA 2014/15 dan kini menyambung pelajaran di UIA. Batch saya ialah batch ke-15 yang menyertai program ini. RINGKAS MENGENAI PROGRAM Program Persijilan Tahfiz DQ-UIA ini ialah program kolaborasi antara Darul Quran JAKIM dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Para pelajar akan memperuntukkan masa selama 18 bulan atau setahun setengah untuk menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran. Kemudian, pelajar tersebut boleh melanjutkan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejurus tamat pengajian di DQ. PERMOHONAN Untuk permohonan, pelajar perlu rujuk laman sesawang DQ untuk tahu mengenai syarat kelayakan, tarikh buka permohonan dan sebagainya. Secara umumnya, untuk program Persijilan, keputu...

Layakkah aku digelar HAFIZAH ALQURAN?

Orang kata : Indah khabar dari rupa.. Tapi Masjid ini, indah segala-galanya ..19 JANUARI 2015.. Suatu ketika dahulu, tarikh itu amat bersejarah buat diri ini. Alhamdulillah 'ala kulli haal. Pada tarikh itu... Aku berjaya tamat tasmik hafazan 30 Juzuk Al-Quran buat kali pertama. Walaupun dua kali tarikh target terlepas, rupa-rupanya Allah nak izinkan jatuh pada tarikh ini, tarikh yang sama dengan tarikh kelahiranku.. Beberapa bulan selepas itu (menghampiri setahun), Allah mengizinkan aku ingin singgah di masjid Darul Quran, kebetulan pula ada rehearsel majlis khatam Al-Quran untuk meraikan pelajar-pelajar yang berjaya habis tasmik hafazan 30 Juzuk Al-Quran. Suasana yang amat tenang dan syahdu. Satu persatu surah pendek dari Juz 30 diselesaikan bacaannya.. akhirnya menitis air mata jernih di pipiku.. Sebak, terharu, gembira dan syahdu, segalanya bersatu. Entah bagaimana lagi seharusnya aku bersyukur kepada Allah. Walaupun aku rasa terlalu mustahil buat diri ini mengkhatam...

Pengalaman Belajar di Darul Quran JAKIM (Bhg.2)

​   KEHIDUPAN BERPERSATUAN Pelajar Persijilan Tahfiz DQ-UIAM mempunyai persatuannya sendiri yang diberi nama Intellectual Quranic Generation Club (I.Q.R.a.C). Sebutannya bukan "Iqra'" tapi ai-qiu-rek. Haha k.  Ada pelbagai biro di bawah IQRaC seperti persatuan lain seperti; Biro Akademik, Tugas-Tugas Khas, Tarbiah & Kerohanian, Ekonomi, Perhubungan Luar, Penerbitan & Informasi dsb.  Boleh dikatakan sangat aktif dalam menganjurkan program-program untuk pembangunan diri ahlinya. Antaranya: - SYABAB- Orientasi untuk pelajar-pelajar baru. Lebih kepada cabaran untuk fizikal, mental dan rohani. - INTROFAZ- Pengenalan untuk pelajar baru kepada dunia huffaz (cara hafazan dsb). Lebih berbentuk akademik.  - OBIQ- Program pengenalan usrah dan macam ice-breaking untuk ahli-ahli usrah.  - INSIDE- Karnival mengenai multimedia dan dakwah.  - SUKRAC- Sukan untuk ahli IQRaC.  - NEWA- Program rekreasi (explorace dsb) untuk pemant...